Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Johor Darul Takzim, Benjamin Mora percaya  skuadnya sudah kembali kepada prestasi sebenar mereka selepas melalui siri permulaan yang agak goyah di musim baru.

Mora yang dilantik sebagai pengendali baru JDT hanya dua hari sebelum sepak mula musim baru pada 18 Januari lalu berkata pemainnya sudah bangkit dari ‘tidur yang lena’ dan kini bersedia menampilkan perwatakan sang juara setelah deretan aksi meyakinkan yang menyaksikan JDT mencatat empat kemenangan berturut-turut.

Harimau Selatan hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan pertama yang mereka harungi, menyaksikan mereka tersingkir di pusingan kelayakan ketiga Liga Juara Asia dan dilabel bakal bergelut untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali keempat.

Namun setelah kekalahan mengejut kepada Perak yang menoktahkan rekod tanpa kalah dalam 25 perlawanan Liga Super, JDT bangkit menjadi pasukan lebih kuat, membuka tirai Piala AFC dengan kemenangan ke atas kelab Kemboja, Boeung Ket disusuli tiga kemenangan dalam saingan liga ke atas T-Team, Sarawak dan terbaru Pahang.

Lawan mereka yang seterusnya adalah kelab Myanmar, Magwe FC dalam saingan Piala AFC di Yangon dan Mora berkeyakinan tinggi momentum kemenangan yang tercipta dapat diteruskan.

“Mereka bertambah baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain. Saya tidak pernah meragui mereka dan mereka buktikan karakter sebenar mereka. Perjalanan masih panjang, dan saya yakin mereka tidak akan berpaling.

“Saya lihat pemain-pemain ada kredibiliti untuk memberi cabaran serius dalam semua pertandingan yang disertai, termasuk Piala AFC di mana sasaran kita merampas semula trofi yang kita menangi pada 2015. Keyakinan semakin memuncak dan ini adalah satu petanda positif untuk kita,” kata Mora.

Mora bersama barisan pemainnya selamat tiba di Yangon petang tadi menjelang aksi yang dijadual berlangsung pada Selasa. Untuk rekod, Magwe tewas 0-1 dalam aksi pembuka tirai kepada kelab Filipina, Global FC.

Dalam saingan Piala AFC tahun lalu, cabaran JDT tersekat di peringkat separuh akhir setelah tewas kepada pasukan dari India, Bengaluru FC.

Mereka berpeluang untuk melangkah beraksi di Liga Juara Asia tahun ini namun gagal melepasi cabaran kelab Jepun Gamba Osaka yang nyata dilihat terlalu kuat untuk disaingi. 

- Advertisement -