Oleh Muhammad Aiman

Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata barisan pemain muda pasukan itu perlu terus bekerja keras meningkatkan prestasi dan membina keyakinan sebelum mereka mendapat peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan itu dalam saingan Liga Super.

Dengan Liga Malaysia ketika ini sedang berehat panjang manakala beberapa pemain seniornya seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari, Syazwan Zainon, Akram Mahinan dan Rizal Ghazali pula terlibat dengan skuad kebangsaan, Cheng Hoe telah mengatur beberapa aksi persahabatan dan memberi ruang pendedahan kepada pemain muda.

Terbaru, mereka menewaskan skuad Liga Premier Perlis 1-0 di Stadium Darul Aman pada Sabtu dengan ramai pemain simpanan dan pemain dari skuad Piala Presiden telah diberi peluang bermain.  

“Ini peluang terbaik buat pemain muda mengasah dan menyerlahkan bakat mereka sebelum saingan Piala FA hujung bulan ini dan Liga Super bersambung semula bulan depan. Saya yakin jika mereka terus bekerja keras, fokus dan komited, mereka akan dapat mencapai tahap dan kualiti permainan lebih baik dan menjadi pemain yang berjaya di masa depan.

“Jadi pendedahan seperti ini adalah penting buat mereka, untuk memberi keyakinan dan peluang berguna untuk mereka sebagai persediaan sebelum dipilih dalam kesebelasan utama. Mereka perlu bijak gunakan peluang dan membuktikan keupayaan,” kata Cheng Hoe.

Antara pemain yang diberi peluang beraksi adalah Farhan Roslan, Syawal Nordin, Abdul Halim Shaari, Raphi Azizan, Syazuan Hazani, Osman Yusoff, Mohd Faiz, Mohd Zafir dan Mohd Asri (penjaga gol).

Untuk rekod, Kedah akan berdepan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dalam aksi suku akhir Piala FA pada minggu depan.    

- Advertisement -