Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berjanji memberikan layanan dan perhatian sama rata kepada semua pemain yang ‘direkrut’ ke dalam skuad Projek Khas yang ditubuhkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lalu.

Sebelum ini ada rungutan mengenai penubuhan skuad itu memandangkan ramai yang melihat ia semata-mata mahu membantu jaguh badminton nombor satu dunia, Dato’ Lee Chong Wei untuk memenangi Kejuaraan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

Pemain lain yang berada di dalam skuad Projek Khas itu adalah Iskandar Zulkarnain, Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven, Choong Yee Han dan juara kebangsaan dua kali, Lim Chi Wing.

Menurut Hendrawan, “Perlu saya tekankan pemain lain berada di dalam skuad ini bukanlah untuk sekadar datang buat ‘sparring’ dengan Chong Wei. Semua akan berlatih bersama dan semua pemain ini mempunyai sasaran tersendiri untuk dicapai.

“Saya berharap dapat mengetengahkan sekurang-kurangnya tiga pemain yang berkualiti daripada inisiatif ini,” ujar Hendrawan yang dilantik mengepalai skuad Projek Khas.

Tambah Hendrawan, dia telah pun menerima segala butiran dan laporan terperinci mengenai pemain dalam skuad itu daripada Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen dan akan meneliti segala maklumat sebelum membuat apa-apa perubahan atau pengubahsuaian sekiranya perlu.

“Apa sekalipun, secara dasarnya lima pemain yang lain di dalam skuad mestilah cuba untuk mencapai apa sasaran yang diletakkan ke atas mereka, terutamanya dari segi ranking menjelang hujung tahun nanti. Kita akan menilai prestasi mereka dan siapa sahaja yang menyerlah akan dihantar menyertai lebih banyak pertandingan.

“Chi Wing mempunyai potensi yang bagus, saya tertarik dengan kualiti melawan yang ditunjukkannya ketika di Terbuka Kebangsaan baru-baru ini. Dia mempunyai kualiti untuk menjadi pemain yang sangat bagus. Jika dia kekalkan momentum, saya akan cuba tekan dia beraksi dengan lebih cemerlang di peringkat lebih kompetitif.

“Buat masa ini, dia perlu cemerlang di kejohanan bertaraf rendah bagi meningkatkan ranking. Jadi adalah penting ketika ini dia banyak mengambil bahagian dalam Sirkit Antarabangsa dan kejohanan Grand Prix,” kata jurulatih dari Indonesia itu.

Mengenai status Iskandar Zulkarnain yang tersisih kerana kecederaan, Hendrawan berkata dia tidak mahu mengambil risiko dengan memberi tekanan kepada pemain itu memandangkan Iskandar belum pulih sepenuhnya.

Malah Iskandar juga dijangka akan terlepas aksi Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung bulan depan.

- Advertisement -