Oleh Muhammad Aiman
Kejayaan memecahkan rekod dunia sebanyak tiga kali di temasya Sukan Paralimpik Rio De Janeiro pada tahun lalu, membantu Abdul Latiff Romly untuk dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2016, pada Rabu. 
Abdul Latiff yang menyumbang pingat emas ketiga negara di temasya Rio itu mengetepikan lima calon lain iaitu jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei, jaguh keirin Azizulhasni Awang, juara dunia Silat, Al Jufferi Jamari, Rafiq Ismail (boling) dan juga Syarul Azman Mahen (bina badan). 
Lebih menarik, ini juga adalah kali pertama seorang atlet paralimpik dinobatkan sebagai olahragawan kebangsaan dalam sejarah 51 tahun penganjuran ASN. 
Sementara itu, anugerah Olahragawati Kebangsaan pula menjadi milik juara dunia silat, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang mengetepikan Pandelela Rinong (terjun), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (boling), Tan Li Lian (bina badan) dan Aaliyah Yong (ski air). 
Siti Rahmah, atlet kelahiran Terengganu mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi pada 2012 dan 2015 buat kali ketiga berturut-turut di Bali, Indonesia pada Disember 2016. 
Kejayaan Siti Rahmah meneruskan kecemerlangan bagi sukan silat setelah tahun lalu ianya dimenangi oleh Al Jufferi. 
Selaku pemenang, Abdul Latiff dan Siti Rahmah membawa pulang RM20,000 dan trofi. Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Bagi Anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, ianya menjadi milik pemenang gangsa di Rio, Siti Noor Radiah Ismail manakala tiada pemenang namun tiada pemenang bagi Olahragawan Paralimpik. 
Dua pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio iaitu gandingan beregu lelaki, Tan Wee Kiong/Goh V Shem dan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong masing-masing memenangi Anugerah Berpasukan Lelaki dan Anugerah Berpasukan Wanita.
Dalam pada itu, Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan pula menjadi milik R.Jaganathan yang membimbing atlet olahraga paralimpik membawa pulang tiga emas dan satu gangsa dari Sukan Paralimpik Rio.
Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan pula dimenangi jurulatih badminton, Chin Eei Hui atas kejayaan dicapai oleh gandingan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying.
Anugerah lain yang turut disampaikan adalah Anugerah Team Malaysia (Azizulhasni Awang), Anugerah Kepimpinan Sukan (Tan Sri Datuk Ali Rustam, Presiden Persatuan Silat Malaysia & N.Shanmugarajah, Gimnastik). 
Anugerah Khas ASN pula diberikan kepada Tun Jeanne Abdullah (Penaung Majlis Paralimpik Malaysia) dan Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar (Presiden Majlis Olimpik Malaysia).
- Advertisement -