Oleh Muhammad Aiman

Johor Darul Takzim mungkin memulakan musim dengan agak perlahan, tapi prestasi mereka memuncak tepat pada waktunya dan tamat 11 aksi pusingan pertama mereka merajai takhta Liga Super dengan kelebihan lima mata mengatasi pesaing terdekat, Pahang.

Pada Rabu, skuad Harimau Selatan menewaskan pasukan tangga tercorot, Pulau Pinang 2-1 di Stadium Bandaraya. Jaringan dari Gonzalo Cabrera pada minit keenam dan Azamuddin Akil pada minit ke-24 membantu JDT merakam kemenangan kelapan mereka musim ini.

Skuad bimbingan Benjamin Mora mengumpul 26 mata manakala kekalahan ketujuh buat Pulau Pinang menyaksikan mereka kekal menghuni tangga tercorot dengan lima mata.

Di Jengka, Pahang terlepas peluang untuk terus menghimpit rapat JDT namun keputusan seri 1-1 menentang Felda United menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh kekal di tangga kedua dengan 21 mata.

Tok Gajah mendahului menerusi jaringan Matheus Alves pada minit ke-20 namun Felda bimbingan B.Sathianathan mencuri satu mata menerusi gol penyamaan Stuart Wark pada minit ke-24.

Dalam aksi di Ipoh, Perak memastikan kemarau kemenangan Kedah melebar kepada empat perlawanan setelah mengikat juara Piala Malaysia itu 1-1.  Hafiz Kamal meletakkan Perak di depan pada minit ke-61 manakala gol buat Kedah dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar.

Kedah kekal di tangga ketiga dengan 20 mata manakala Perak menamatkan aksi pusingan pertama di tangga keempat dengan 17 mata.

Di Kuching, Sarawak mengakhiri rekod kemenangan 100 peratus Kelantan di gelanggang lawan apabila mengikat lawan dari pantai timur itu seri tanpa jaringan.

Keputusan seri itu menyaksikan Kelantan melonjak ke tangga kelima manakala Bujang Senang kekal di tangga kesebelas.

Gol tunggal Fauzi Abdul Kadir pada minit akhir permainan pula membantu T-Team melakar kemenangan 1-0 ke atas Selangor di Kuala Terengganu manakala PKNS dan Melaka United mencatat keputusan seri 2-2 di Stadium Hang Jebat.

- Advertisement -