Oleh Muhammad Aiman

Kemerosotan prestasi Kedah sejak timbulnya isu perpindahan ketua jurulatih mereka, Tan Cheng Hoe tampak belum ada noktahnya, terbaru sang Lang Merah tunduk 0-1 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam aksi suku akhir kedua Piala FA.

Begitupun, kekalahan tersebut tidak menghalang mereka dari meneruskan kemaraan ke separuh akhir menerusi kemenangan agregat 6-2 – terima kasih kepada aksi dominan di gelanggang sendiri lebih kurang tiga minggu lalu.

Beraksi di Stadium Ipoh, PKNP kendalian Abu Bakar Fadzim sedar mereka berdepan misi sukar mencari lima gol bagi menterbalikkan keputusan namun mereka memanfaatkan sebaiknya gelora yang melanda kem Kedah untuk merebut pendahuluan seawal minit ke-10 menerusi Shahrel Fikri.

Usaha PKNP memburu tambahan jaringan bagaimanapun tidak berhasil tatkala Kedah juga mencipta beberapa peluang menjaringkan gol namun dinafikan kecemerlangan penjaga gol tuan rumah, Asyraf Omar.

Di peringkat separuh akhir, Kedah akan berdepan juara 2011, Terengganu. Kali terakhir Kedah mara ke final adalah pada 2010 yang mana ketika itu mereka tewas menerusi penentuan penalti kepada Negeri Sembilan. 

Sementara itu dalam aksi berlangsung di Kuching, Terengganu bimbingan Irfan Bakti dikerah mengharungi debaran sepakan penalti sebelum mara dengan menyingkirkan pasukan Liga Super, Sarawak, 4-1.

Terengganu berpeluang mengesahkan kemaraan lebih awal setelah pemain import dari Kanada, Issey Nakajima meletakkan mereka di depan pada minit ke-10 namun Sarawak mengheret perlawanan berlanjutan ke masa tambahan apabila Demerson menyamakan kedudukan 1-1 dan mengikat agregat 2-2 pada minit ke-80.

Setelah gagal mencari tambahan jaringan, sang penyu tampil dominan ketika penentuan penalti apabila menyempurnakan kesemua tendangan menerusi  Issey Nakajima, Federico Falcone, Lazaro dan J.Parthiban.

Satu lagi aksi suku akhir yang menemukan dua pasukan 100Plus Liga Premier menyaksikan Negeri Sembilan menyingkirkan Sabah untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama selepas tujuh musim.

Meskipun sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pendahulu Liga Premier itu layak menerusi agregat 1-0 untuk bertemu pemenang di antara Pahang dan Johor Darul Takzim yang akan ditentukan pada Ahad nanti.

- Advertisement -