Oleh Muhammad Aiman

Dua pasukan Liga Super, Kedah dan Pahang dikerah bekerja keras sebelum berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas lawan masing-masing dari 100PLUS Liga Perdana dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA yang berlangsung Ahad.

Kedah yang pertama kali dibimbing Nidzam Adha Yusoff setelah kehilangan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menundukkan Terengganu menerusi jaringan minit ke-71 pemain tengah, Farhan Roslan di Stadium Darul Aman.

Kedah yang mendominasi sebahagian besar permainan yang berlangsung diiringi hujan renyai, seharusnya menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menyempurnakan beberapa peluang terhidang antaranya menerusi Baddrol Bakhtiar dan Ken Ilso Larsen.

Gol Farhan hadir setelah pemain itu merembat kencang dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga go Terengganu setelah menerima umpanan dari Ilso Larsen.

Manakala Pahang bimbingan Dollah Salleh pula menundukkan Negeri Sembilan setelah beroleh jaringan kemenangan pada minit ke-80 berpunca dari rembatan Ashaari Samsudin yang terkena kaki pemain pertahanan Negeri Sembilan, Annas Rahmat sebelum menerjah jaring.

Kedah dan Pahang pastinya sedar bekalan satu gol bukan bekalan selamat apatah lagi bakal beraksi perlawanan timbal balik pada 13 Mei nanti di gelanggang lawan. Kedah akan bertandang ke Gong Badak manakala Pahang bertandang ke Seremban.

Kali terakhir Kedah mara ke final Piala FA adalah pada 2010 manakala Pahang pada 2014, tahun yang menyaksikan mereka muncul juara.    

- Advertisement -