Oleh Muhammad Aiman

Sensasi badminton China, Lin Dan akhirnya memenangi gelaran sulung Kejohanan Super Series Terbuka Malaysia dalam penampilan final keempatnya dengan menewaskan jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei.

Juara dunia lima kali itu membuktikan kudratnya masih berbisa apabila merakam kemenangan straight set 21-19, 21-14 ke atas Chong Wei di hadapan lebih 5,000 penyokong yang hadir menyaksikan pertarungan epik berkenaan di Stadium Perpaduan, Petrajaya.

Ianya jelas perlawanan akhir impian ramai, dan kedua-duanya tidak mengecewakan apabila beraksi sengit saling mengejar mata di set pertama.

Lin Dan menunjukkan kekuatan mental yang menakjubkan, dan tampil dalam kelas tersendiri apabila bangkit dari ketinggalan empat mata 15-19 pada satu ketika untuk meraih enam mata berturut-turut dan memenangi set pertama manakala set kedua ianya lebih mudah buatnya. 

“Ianya sesuatu yang hebat untuk menewaskan Chong Wei di tempatnya sendiri dan merangkul gelaran pertama saya di sini. Saya sentiasa berikan yang terbaik bila berdepan Chong Wei dan hari ini saya melakukannya sekali lagi,” kata Lin Dan.

Untuk rekod, Lin Dan sebelum ini tewas dalam aksi final 2005, 2006 dan 2015 dan menariknya kemenangan ini berjaya membalas dendam kekalahannya kepada Chong Wei dalam aksi final tahun 2006 yang berlangsung di gelanggang sama.

Kemenangan di Terbuka Malaysia ini juga menyaksikan Lin Dan melengkapkan semua koleksi kejuaraan Siri Super dan pertandingan utama badminton dunia. Selaku juara, dia membawa pulang US$45,000 (hampir RM200,000). 

Meskipun gagal mempertahankan kejuaraan, Chong Wei kekal sebagai pemain terbanyak bergelar juara Terbuka Malaysia dengan 11 kejuaraan bermula tahun 2005 dan 13 kali layak ke final.   

“Set pertama itu sangat penting, saya mempunyai kelebihan namun melakukan kesilapan dan beberapa kali gagal menduga jatuhan bulu tangkis dengan tepat. Saya hilang fokus. Di set kedua, Lin Dan bermain cukup yakin, tetapi saya gagal mendapatkan keyakinan sama. Ianya mengecewakan tetapi saya terima kekalahan ini,” kata Chong Wei.

Destinasi Chong Wei yang seterusnya adalah Kejohanan Badminton Asia di Wuhan manakala Lin Dan pula bermain di Terbuka Singapura.   

- Advertisement -