Oleh Muhammad Aiman
Biarpun bakal turun dengan status sebagai pasukan underdog, Negeri Sembilan bertekad tidak akan memberi laluan mudah kepada Pahang apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA pada Ahad.
Jurulatih Negeri Sembilan, Asri Ninggal berkata keyakinan dan motivasi para pemain berada di tahap terbaik dan mereka sudah bersedia untuk mengalas tanggungjawab getir menyekat amukan Pahang di Stadium Darul Makmur. 
“Kita tidak sesekali memandang rendah pada Pahang, mereka pasukan yang kuat dan beraksi di Liga Super. Kualiti pemain-pemain mereka sudah cukup terbukti malah kalau dibandingkan kami dan mereka, jelas banyak kelebihan di pihak Pahang. 
“Selain itu mereka sudah tentunya mahu memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mencari bekalan selesa. Apapun kami lebih selesa dengan situasi ini kerana ia boleh meredakan tekanan, yang penting kita sudah minta pemain tunjukkan prestasi yang baik dan mereka berjanji akan bekerja keras untuk mencatat keputusan positif untuk dibawa pulang ke Seremban,” kata Asri. 
Tambah Asri lagi, kesemua pemainnya berada dalam keadaan cergas dan bebas penggantungan justeru menyatakan keyakinan akan dapat menurunkan kesebelasan terbaik. 
Sementara itu di kem Pahang, pengendali Dollah Salleh berkata ianya satu kesilapan besar seandainya mereka memandang enteng kekuatan pendahulu 100Plus Liga Premier itu dalam masa sama berharap mereka akan bangkit dari prestasi hambar yang ditunjukkan ketika menentang Felda United. 
“Kita perlu manfaatkan sebaiknya aksi di gelanggang sendiri, saya harap pemain dapat bangkit dari prestasi lesu. Kita seri dengan Selangor, tewas kepada JDT kemudian seri dengan Felda, kita perlu segera kembali ke landasan kemenangan agar dapat membawa bekalan untuk aksi timbal balik,” ujar Dollah. 
Untuk rekod, Pahang mara ke separuh akhir setelah menyingkirkan juara bertahan JDT menerusi agregat 4-3 manakala Negeri Sembilan menyingkirkan Sabah dengan agregat 1-0. 
Kali terakhir Pahang bergelar juara Piala FA adalah pada 2014 manakala Negeri Sembilan pada 2010.
- Advertisement -