Oleh Ku Mohd Lufti

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendirian mahukan perlawanan sulung bagi Kelayakan Piala Asia 2019, kumpulan B dengan Korea Utara diadakan di gelanggang berkecuali pada 8 Jun ini.

Ia sekaligus menolak usul yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mahu meneruskan perlawanan di Pyongyang.

Menerusi kenyataan media, keputusan dibuat oleh FAM selepas mengadakan mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali dan dihadiri Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Setiausaha Bahagian Asia Timur Kementerian Luar Datuk S Ganeson hari ini.

Ketegangan geopolitik antara Korea Utara dan negara-negara lain kini semakin meruncing malah mengukuhkan lagi keputusan perbincangan diantara kesemua pihak yang hadir agar perlawanan tersebut tidak diadakan di Pyongyang tetapi diadakan di gelanggang berkecuali.

Keputusan tersebut akan dimaklumkan kepada AFC untuk tindakan selanjutnya.

PRKFA baru baru ini membuat keputusan untuk tidak mengemukakan cadangan venue berkecuali sebaliknya menghantar surat kepada AFC bagi mengekalkan Pyongyang sebagai venue perlawanan pertama itu dengan jaminan keselamatan.

- Advertisement -