SMK Mutiara Impian, dua wakil SSMP ‘A’ kekal rekod bersih

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/04/smk-mutiara-impian-dua-wakil-ssmp-a-kekal-rekod-bersih/">
Twitter
Pinterest
Aksi pasukan SMK Za'ba(jersi hijau) ketika menentang pasukan SMK Bukit Nenas yang telah berlansung di Stadium Mini SMK Bukit Nenas, Setiu, Terengganu.

Aksi pasukan SMK Za’ba(jersi hijau) ketika menentang pasukan SMK Bukit Nenas yang telah berlansung di Stadium Mini SMK Bukit Nenas, Setiu, Terengganu.

Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian mencatat kemenangan kedua dalam aksi Liga Super Menteri Pendidikan Malaysia (KPM) Bawah 14 tahun yang berlangsung Sabtu apabila menewaskan SMK Tabuan Jaya dari Sarawak 1-0 di gelanggang sendiri.

Gol tunggal pasukan dengan jolokan Black Tigers itu dijaringkan Arash Danial seawal minit ketiga. Kemenangan membolehkan SMK Mutiara Impian mengumpul enam mata dan memimpin liga menerusi beza jaringan ke atas dua wakil dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) yang turut melakar kemenangan kedua.

SSMP ‘A’ B-14 menewaskan SMK Bukit Indah (Akademi JDT) 2-0 menerusi jaringan Aman Syamim dan Najmudin Akmal manakala SSMP ‘A’ B-13 menewaskan SMK Syed Hassan dari Perlis juga dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Nabil Qayyum dan Shahril Sobri.

Dalam aksi berlangsung di Setiu, Sekolah Sukan Negeri Sembilan, SMK Za’ba membenam cabaran Sekolah Sukan Negeri Terengganu, SMK Bukit Nenas 2-1.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat pasukan bimbingan Mazwan Ab Mansor musim ini sekaligus menebus kecewa kekalahan kepada SSMP ‘A’ B-13 pada aksi pembuka tirai Liga Super KPM 2017 pada 8 April lalu.

Babak awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan corak permainan berhati-hati tatkala masing-masing berusaha menyesuaikan diri dengan permukaan padang keras.

Peluang terbaik buat SMK Za’ba hadir menerusi rembatan Al-Aqib Zulkifli yang sedikit melewati palang pada minit ke-25 manakala tuan rumah pula berpeluang menghasilkan jaringan menerusi percubaan Azri Syazani yang sedikit tersasar.

Setelah beberapa kali mencuba, usaha SMK Za’ba akhirnya berhasil apabila Afrizal Azriq menyempurnakan hantaran sepakan sudut rakan sepasukan pada minit ke-28.

SMK Bukit Nenas cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan pada minit akhir separuh masa namun sepakan percuma Azri Syazani sekadar mengegar palang.

Hujan lebat yang turun sejak permulaan separuh masa kedua merencatkan sedikit permainan kedua-dua pasukan namun pasukan pelawat berjaya menambah jaringan menerusi Syahir Mohamed Izam pada minit ke-42.

Meskipun tuan rumah merapatkan jurang pada minit ke-47 menerusi Najmi Adib, SMK Za’ba utuh bertahan untuk membawa pulang tiga mata.

“Ketika menentang SSMP, kita bermain bawah kemampuan sebenar mungkin sebab ianya perlawanan pertama. Sama juga seperti Terengganu, ini perlawanan pertama mereka jadi mungkin rentak sedikit terganggu, sebaliknya pemain-pemain kami bermain dengan baik walaupun pada awalnya nampak kekok kerana permukaan padang yang keras.

“Walaupun begitu, mereka berjaya menyerap tekanan, bermain dengan baik, mengikut arahan dan mengatur serangan. Mereka menangani asakan Terengganu dengan baik dan saya gembira mereka menunjukkan peningkatan yang ketara pada perlawanan ini,” kata pengurus pasukan SMK Za’ba, Kamal Shahrudin.

Manakala jurulatih SMK Bukit Nenas, Haslan Ismail berkata, “Kita hanya ada dua sahaja pemain dari skuad tahun lepas, manakala bagi enam pemain lain, ini adalah perlawanan kompetitif pertama mereka. Jadi tahap keyakinan mungkin tidak berapa bagus lagi.

“Apapun saya puji kesungguhan mereka, rata-ratanya pemain tingkatan satu berbanding lawan pemain tingkatan dua, fizikal pun lebih bagus. InshaAllah kita akan pertingkatkan mutu permainan selepas ini.”

Sementara itu, SMK Seri Titiwangsa (Kuala Lumpur) pula bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan SMK Seberang Temerloh 2-1 menerusi jaringan Izzat Irfan dan Aiman Fitri.

Dalam saingan Liga Perdana KPM B-14 pula hanya

Sekolah Sukan Negeri Perak, SMK Gunung Rapat berjaya mencatat kemenangan kedua berturut-turut setelah menewaskan SMK Seri Kota dari Melaka dengan keputusan 2-0.

Pasukan SSMP ‘B’ B-14 dan SSMP ‘B’ B-13 berkongsi satu mata setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan manakala SMK Tun Hussein Onn dari Johor mencatat kemenangan 1-0 ke atas SMK Kem Terendak (Akademi ATM).

SMK Datuk Peter Mojuntin (Sabah) mencatat kemenangan pertama setelah menewaskan MSS Putrajaya 2-0 sementara perlawanan di antara SMK Tunku Anum (Kedah) dan SMK Seksyen 11 (Selangor) berkesudahan seri 2-2.

Keputusan (Liga Super KPM B-14)
SMK Bukit Nenas (Terengganu) 1
SMK Za’ba (N.Sembilan) 2

SMK Mutiara Impian (P.Pinang) 1
SMK Tabuan Jaya (Sarawak) 0

SMK Seri Titiwangsa (K.Lumpur) 2
SMK Seberang Temerloh (Pahang) 1

SSM Pahang ‘A’ B-14 2
SMK Bukit Indah (Akademi JDT) 0

SSM Pahang ‘A’ B-13 2
SMK Syed Hassan (Perlis) 0

Keputusan (Liga Perdana KPM B-14)
SMK Tun Hussein Onn (Johor) 1
SMK Kem Terendak (Akademi ATM) 0

SMK Seri Kota (Melaka) 0
SMK Gunung Rapat (Perak) 2

SSM Pahang ‘B’ B-14 0
SSM Pahang ‘B’ B-13 0

MSS Putrajaya 0
SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah) 2
SMK Tunku Anum (Kedah) 2
SMK Seksyen 11 (Selangor) 2

Please follow and like us:
0