Oleh Muhammad Aiman

Kelantan pada hari ini mengumumkan telah mendapatkan khidmat pemenang kasut emas Liga Lubnan, Abou Bakr El Mal untuk memperkasakan jentera serangan pasukan, hanya dua hari selepas mengumumkan penyerang sensasi mereka, Mohamed Ghaddar sah menyertai Johor Darul Takzim.

Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata Abou Bakr yang lebih dikenali sebagai Bako di kalangan peminat telah menandatangani kontrak selama dua musim bersama Kelantan dalam masa sama melabel pemain itu sebagai pengubat kekecewaan peminat berikutan penghijrahan Ghaddar.

“Sebaik sahaja Ghaddar menyatakan hasrat mahu berpindah, kita terus adakan perbincangan untuk mencari pengganti yang lebih muda dari Ghaddar selain memastikan pemain itu akan dapat memenuhi kekosongan kuota import Asia.

“Kemasukan Abou Bakr ini bukanlah bermakna kita (Kelantan) sudah mewah setelah dibayar dengan harga tinggi oleh JDT tetapi ia bagi memperkuatkan serangan pasukan yang kehilangan penyerang utama yang telah menjaringkan 18 gol dalam hanya 12 perlawanan,” kata Annuar.

“Saya percaya Abou Bakr akan menjadi ‘Superstar’ baru dan sekiranya semua berjalan lancar, dia akan dapat diturunkan pada perlawanan menentang Pulau Pinang 25 Mei ini di Kota Bharu,” tambah Annuar lagi mengenai pemain berusia 24 tahun itu. 

Yang menimbulkan persoalan, bagaimana seorang pemain sebagus Abou Bakr yang turut dinobatkan Pemain Paling Bernilai Liga Lubnan serta dilaporkan sebagai kawan karib kepada Ghaddar boleh membuat keputusan menyertai Kelantan yang dihimpit masalah kewangan dan sering kali bermasalah dalam pembayaran gaji.

Apakah Abou Bakr tidak mendapatkan pandangan rakan karibnya itu terlebih dahulu sedangkan Ghaddar sendiri masih mempunyai jumlah tunggakan RM200,000 (tunggakan gaji lama) untuk dijelaskan oleh KAFA, namun diberitakan bahawa Ghaddar telah ‘menghalalkan’ tunggakan itu sebagai satu daripada syarat KAFA membenarkannya menyertai JDT.

Mengesahkan perkara itu, Annuar berkata, “Ghaddar sudah membuat komitmen bertulis kepada KAFA untuk tidak membuat tuntutan terhadap gaji lamanya (yang telah dibawa kepada FIFA) jika KAFA membenarkannya menyertai JDT. Kita bersetuju dengan rundingan itu.”

Ghaddar yang mengharungi musim cemerlang dilaporkan menyertai Harimau Selatan dengan yuran perpindahan RM1.4 juta – jumlah tertinggi yang pernah diterima bagi mana-mana pemain dalam arena bolasepak tempatan meskipun Kelantan sebelum itu meletakkan harga RM2 juta ke atas pemain itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor berkata wang yang diterima hasil penjualan Ghaddar ke JDT akan digunakan untuk membayar tunggakan gaji pemain-pemain dan bekas pemain pasukan itu.

“Itu adalah pilihan kita sebelum melepaskan Ghaddar ke JDT di dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain, sebahagian daripada yuran perpindahan Ghaddar akan digunakan untuk membayar gaji pemain dan kita akan menyegerakannya sebaik sahaja menerima wang itu dari JDT,” ujar Ismail.

- Advertisement -