Pelumba Uma Racing Yamaha Maju Motor berusia 19 tahun; Md Akid Aziz pendahulu keseluruhan kategori Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) pada 2 hingga 4 Jun ini.

Perlumbaan kategori underbone kembali bersaing di Litar Suzuka, Jepun setelah tidak berada dalam kalendar perlumbaan pada musim lepas dengan pelumba Malaysia, Md Akid Aziz bersedia untuk terus mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan kategori Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) pada 2 hingga 4 Jun ini.

Pelumba Uma Racing Yamaha Maju Motor berusia 19 tahun itu kini mendahului kedudukan dengan 65 mata, 14 mata mengatasi Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Kage Motobatt Yamaha YY Pang Racing) manakala juara Underbone 130cc musim 2016 sebelum bertukar ke kategori 150cc pada musim ini, Wahyu Aji Trilaksana di tangga keempat dengan 45 mata.

Mengulas tentang persediaan menghadapi perlumbaan di litar sepanjang 5.8km itu, Akid berkata, “Saingan minggu ini mungkin sedikit sukar bagi saya dan rakan sepasukan, (Md Haziq Fairues) kerana kami berdua tidak pernah berlumba di sini berbanding sebahagian pasukan yang pernah beraksi di sini pada tahun 2015,” jelas Akid.

Tambahnya, “Cuma secara teknikal, tidak banyak pasukan mempunyai kelebihan dari segi data jentera kerana jentera 150cc ini pertama kali dipertandingkan di Suzuka. Saya berharap seluruh pasukan dapat membantu kami menyediakan jentera yang terbaik. Pasukan dan pelumba mana yang dapat menyesuaikan diri dengan cepat akan mempunyai kelebihan.

“Cuma saya perlu lebih berhati-hati dan mengelak daripada keciciran mata. Perlumbaan baru masuk ke pertengahan musim, masih ada banyak baki perlumbaan. Saya perlu meminimumkan kesilapan dan perlu meraih penamat di atas podium sebanyak mungkin,” jelas Akid yang terpilih bersama lima lagi pelumba Asia lain menjalani latihan di Kem Master VR46 di Itali, baru-baru ini.

- Advertisement -