Oleh Ku Mohd Lufti

Teka teki tentang calon ketua jurulatih Harimau Malaysia terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih Nelo Vingada untuk menerajui skuad kebangsaan dengan kontrak selama dua tahun.

Menerusi kenyataan rasmi dalam laman sosial FAM hari ini, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mngumumkan perlantikan Vingada atas dasar sikapnya yang tegas dan serius ketika menjalankan tugas.

Malah pengendali kelahiran Portugal ini mempunyai naluri seperti seorang guru dan mampu memberi pendidikan kepada pemain pemain.

“Dengan pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan. 

“Kerjaya beliau bersama beberapa pasukan kebangsaan – dalam pasukan belia dan skuad utama – dan beberapa kelab yang sudah beliau latih menunjukkan pengalaman yang sangat banyak dalam etika kerjanya.

“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vingada dan, kami berharap boleh bekerja bersama Vingada, dan harapnya, menemui kejayaan baru,” titah Tunku Ismail.

Tambah Tunku Ismail lagi, pemilihan pengendali berusia 64 tahun itu dibuat selepas menilai jurulatih dalam dan luar negara yang lain.

“Selepas melihat banyak jurulatih tempatan dan juga luar, melakukan kerja mereka, naluri saya menyatakan bahawa Vingada adalah individu yang tepat untuk tugas ini.

Saya mungkin silap tetapi hanya masa yang akan menentukan,” katanya.

Antara pencapaian yang telah dilakar oleh Vinganda membawa Portugal selaku juara Piala Dunia Bawah 20 tahun sebanyak dua kali pada tahun 1989 dan 1991.

Pengalamannya bertugas sebagai penolong jurulatih kepada Carlos Quiroz turut membantunya untuk membawa skuad kebangsaan Arab Saudi muncul juara Piala Asia pada 1996.

Kariernya sebagai pengendali kelab tidak kurang hebat apabila berjaya membawa Zamalek SC muncul juara liga Premier Mesir sebanyak tiga kali dan turut menjulang Piala Super CAF dan Kejuaraan Kelab Arab.

- Advertisement -