Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengesahkan hanya meluluskan seorang pemain import yang dibawa masuk ke dalam skuad Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam menerusi kenyataan media petang ini Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hanya menghantar satu surat permohonan kepada pihaknya untuk mendapatkan pemain import.

“Kami tidak menerima surat permohonan untuk dua pemain luar negara sekaligus didaftarkan dan jika ada, ia tidak boleh di luluskan kerana KAFA masih menghadapi sekatan perpindahan oleh kerana isu-isu yang dihadapi oleh KAFA berkenaan pembayaran perkara-perkara wajib masih belum diselesaikan,”kata Kevin.

Hanya yang menjadi persoalan, jika FMLLP mendakwa hanya satu sahaja permohonan yang diterima, bagaimana pengurusan professional KAFA mendapatkan dua pemain?

Tambahnya lagi, sekatan ke atas Kelantan masih lagi berkuat kuasa dan sebarang pindaan perlu mendapat kelulusan pihak pengurusan liga.

“Sewaktu sekatan ini berkuatkuasa, sebarang perpindahan perlu mendapat kelulusan pihak pengurusan liga dan jika ia tidak membawa impak yang positif kepada kedudukan kewangan pasukan atau tidak meletakkan pasukan itu di dalam keadaan dimana hutang-hutang yang sedia ada dapat ditangani maka perpindahan itu tidak dapat diluluskan,”katanya lagi.

Kevin juga berharap peruntukkan daripada perpindahan pemain import Kelantan, Mohamed Ghaddar digunakan dengan sebaiknya untuk menyelesaikan masalah sedia ada sekaligus FMLLP bersedia untuk menarik balik sekatan ke atas perpindahan pemain.

Kelantan menerusi Penasihatnya, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan telah mendapatkan dua pemain import, Abou Bakr El Mel dan Seydi L Imam untuk mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Namun KAFA berdepan isu tunggakan gaji selepas Johnathan Mckain, Velizar Popov dan terkini Blazhe Ilijoski mengkritik tindakan Annuar Musa di laman social twitter baru baru ini. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -