Oleh Ku Mohd Lufti

Khairy tekankan jaminan keselamatan buat skuad Harimau Malaysia di Korea Utara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu Korea Utara memastikan skuad Harimau Malaysia selamat sepanjang berada di sana bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 yang dijadual berlangsung pada 8 Jun depan.

Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan aksi diantara Malaysia dan Korea Utara akan dilangsungkan di Pyongyang selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan tiada sekatan perjalanan dikenakan kerajaan Malaysia.

Namun begitu, Khairy menjelaskan Korea Utara masih mempunyai pelbagai isu meskipun kerajaan tidak mengenakan sebarang sekatan untuk ke sana.

“Kita harap Korea Utara boleh memberi jaminan keselamatan terhadap pasukan kita…bukan hanya ketegangan yang wujud (sebelum ini) antara Malaysia dan Korea Utara yang saya rasa sudah selesai, tetapi Korea Utara sekarang ini menghadapi pelbagai isu melibatkan dunia luar.

“Kita berharap perlawanan dapat berlangsung dan pasukan negara selamat pulang ke Malaysia. Apabila AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) membuat keputusan, kita perlu akur,”Kata Khairy.

Terdahulu beliau melancarkan Detik 100 Hari Menjelang Temasya Kuala Lumpur 2017 di KL Sentral pagi tadi.

Ketegangan diantara Malaysia dan Korea Utara bermula selepas Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 13 Februari lepas.

Ia sekaligus menjejaskan perlawanan diantara Malaysia dan Korea Utara bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 yang sepatutnya dilangsungkan pada 28 Mac kerana kerajaan melarang pasukan ke sana atas faktor keselamatan.

- Advertisement -