Pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee mengumumkan senarai pertama 26 pemainnya untuk hadir menjalani latihan pusat sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Bangkok pada Julai dan kemudiannya temasya Sukan Sea Kuala Lumpur pada Ogos.   

Dalam senarai itu, Kim Swee mengekalkan seramai 17 pemain yang telah membawa cabaran di Piala Dubai B-23 di Emiriah Arab Bersatu pada Mac lalu, ketika masih di bawah kendalian jurulatih dari Jerman, Frank Bernhardt.

Antara nama yang menjadi tumpuan adalah trio anggota juara Piala FA bersama Kedah iaitu Ifwat Akmal, Syafiq Ahmad dan Amierul Hisham Awang Kechik, pemain tengah Selangor Adam Nor Azlin serta dua pemain Johor Darul Takzim iaitu Safawi Rasid dan Haziq Nadzli.

Dua penyerang meningkat naik iaitu Danial Asraf Abdullah (Kelantan) dan N.Thanabalan (Felcra FC) turut dikekalkan Kim Swee tatkala dia turut memanggil sembilan pemain sama ada wajah baru mahupun yang pernah dipanggil sebelum ini bagi melengkapkan pasukan.

Selepas menjalani latihan selama 10 hari di Wisma FAM bermula 29 Mei ini, pasukan B-23 kebangsaan akan terbang ke Xiangtan, China pada 8 Jun untuk aksi persahabatan pertama menentang skuad B-22 China pada 10 Jun.

Selepas itu, mereka akan terbang pula ke Guangzhou pada 11 Jun untuk menghadapi dua lagi aksi persahabatan menentang skuad simpanan Guangzhou R&F (13 Jun) diikuti Guangzhou Evergrande (15 Jun) dan pulang ke tanah air pada 16 Jun.

Pasukan akan meneruskan sesi latihan di FAM dari 17 sehingga 23 Jun sebelum kesemua pemain dilepaskan pulang ke pangkuan pasukan masing-masing dan dikumpulkan semula menjelang Kelayakan AFC B-23 yang akan berlangsung dari 19 – 23 Julai.

Temasya Sukan Sea pula akan bermula pada 14 Ogos bagi acara bolasepak.

Terdahulu pada Rabu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap agar kesemua pasukan memberikan kerjasama melepaskan pemain masing-masing bagi memastikan kelancaran persiapan sekaligus membantu pasukan negara beroleh keputusan terbaik di temasya dwitahunan itu nanti. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

Senarai pemain : 

Penjaga gol : Haziq Nadzli (JDT), Ifwat Akmal (Kedah), Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan), Amierul Hakimi Awang (Terengganu)

Pertahanan : Ariff Farhan Md Isa (Kedah), Syahmi Safari, K.Kannan (Selangor), Ali Imran Alimi (Felda Utd), Adib Zainudin (Felcra FC), Syazwan Andik Ishak (JDT II), Syazwan Zaipol Bahari (PKNP FC), Raphi Azizan Mariappen (PJ Rangers)

Tengah :  Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah), Syamer Kutty Abba (P.Pinang), Adam Nor Azlin (Selangor), Daniel Amier Norhisham, Ahmad Azriddin Rosli (Felda Utd), Safawi Rasid (JDT), Nur Syahmi Iszuan, Tommy Mawat (Sarawak), Ahmad Khairul Anuar Zamri (Perak)

Penyerang : Syafiq Ahmad (Kedah), S.Kumaahran, Jafri Firdaus Chew (P.Pinang), Danial Ashraf Abdullah (Kelantan), N.Thanabalan (Felcra FC)

- Advertisement -