Oleh Ku Mohd  Lufti

Temasya dwitahunan, Sukan SEA ke 29 semakin menghampiri dan kebanyakkan persatuan sudah mula mencongak untuk mendapatkan sasaran pingat mengikut acara yang dipertandingkan.

Kesatuan Olahraga Malaysia, KOM antara yang paling awal melontarkan sasaran bagi pingat emas.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim mengesahkan, Malaysia sudah mempunyai tiga pingat emas di dalam tangan susulan prestasi atlet olahraga di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura pada April lalu.

Tiga atlet, Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi), Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Namun, sasaran sebenar bagi skuad olahraga negara di Sukan SEA ke 29 hanya akan diputuskan pada Julai.

“Kita perlu mengambil berat dan pastikan tiada atlet yang cedera menerusi kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Keputusan sasaran pingat emas hanya akan diputuskan selepas tamat Kejohanan  Olahraga Asia ke 22 di Bhubaneshwar di India pada 6 hingg 9 Julai depan,”kata Datuk Karim.

Lebih 30 atlet Kategori A telah dikenalpasti akan mengambil bahagian dalam kesemua acara yang dipertandingkan.

Sukan olahraga akan bermula dari 19 hingga 26 Ogos, menawarkan 46 pingat emas keseluruhan, yang juga paling banyak dalam 38 jenis sukan yang dipertandingkan di Sukan SEA nanti.

Dalam pada itu, Datuk Karim mempertikaikan syarikat swasta milik China yang berpengkalan di Hong Kong kerana mahu menganjurkan acara marathon pada Oktober depan.

Tegas Datuk Karim, ia telah diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu bahawa sukan marathon adalah hak milik persatuan.

Mana mana pihak yang mahu menganjurkan acara marathon perlu mendapatkan kebenaran daripada persatuan.

“Apa yang mereka buat adalah tidak betul, Kami telah menghantar surat kepada mereka namun masih belum  mendapat sebarang maklum balas selepas dua bulan.

“Kami tiada masalah dengan penganjuran Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon kerana penganjur telah mengadakan perbincangan dengan KOM dan mendapat kebenaran,”

KOM bercadangn untuk mengambil tindakan terhadap syarikat swasta tersebut andai masih tiada jawapan balas, namun sehingga kini masih membuka peluang kepada mereka untuk mengadakan perbincangan.

- Advertisement -