Pusat Ekuestrian 3Q yang terletak di Rawang, Selangor menjadi gelanggang saingan Dressage dan Show Jumping pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos ini.

MENTERI Belia dan Sukan YB Brig Jen Khairy Jamaluddin berpuas hati dengan persiapan venue ekuestrian di Pusat Ekuestrian 3Q yang menjadi gelanggang saingan Dressage dan Show Jumping pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos ini. Pusat Ekuestrian 3Q sudah bersedia menerima kunjungan atlet, pegawai dan kuda dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk dua kandang yang mampu menempatkan hingga 44 ekor kuda milik kontinjen negara atau pasukan pelawat.

“Keutamaan kami ialah penjagaan kuda kerana ia memerlukan pemerhatian rapi sepanjang masa. Kami telah membina dua kandang kuda yang mampu menempatkan 44 ekor kuda.

“Juga, venue dilengkapi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) bagi memastikan aspek keselamatan terhadap kuda terjamin,” kata Pengurus Venue 3Q, Zainal Abidin Zahari.

YB Brig Jen Khairy memuji usaha 3Q Ekuestrian dan menganggap pembabitannya sebagai penyedia venue melegakan penganjur. “3Q menjadi venue bagi show jumping dan dressage kerana penganjur dapat menjimatkan kos. Sekiranya di Putrajaya, kita terpaksa buat penambahbaikan di arena yang tentunya memerlukan perbelanjaan agak tinggi,” kata YB Khairy selepas hadir menyaksikan acara pra Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ahad (21 Mei 2017).

Empat acara dipertandingkan dalam ekuestrian iaitu dressage, show jumping, kuda lasak (endurance) dan polo.

“Saya difahamkan bahawa venue Endurance di Terengganu International Endurance Park (TIEP) bukan sahaja sudah siap, tetapi kekal dalam keadaan terbaik,” kata YB Brig Jen Khairy lagi.

Turut hadir, Chef de Mission Kontinjen Sukan SEA Malaysia, Datuk Marina Chin dan Presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly.

Tujuh pingat emas menjadi rebutan dalam saingan ekuestrian Sukan SEA yang akan berlangsung dari 20-29 Ogos ini.

- Advertisement -