SMK Mutiara Impian kekal tanpa kalah; Seksyen 11 bangkit bergaya

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/05/smk-mutiara-impian-kekal-rekod-tanpa-kalah-smk-seksyen-11-bangkit-bergaya/">
Twitter
Pinterest

 

Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian kekal menerajui kedudukan Liga Super Piala Menteri Pelajaran (KPM B-14) setelah mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas SSN Kuala Lumpur, SMK Seri Titiwangsa minggu ini.

Kedua-dua pasukan dilihat hampir pasti akan pulang dengan satu mata apabila SMK Seri Titiwangsa berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Abdul Qayyum Abdul Manan pada minit ke-51 dan bertahan dengan baik sehingga penghujung perlawanan.

Namun, Hafizuddin Zaidel muncul wira SMK Mutiara Impian apabila meledak jaringan kemenangan pada masa kecederaan sekaligus membolehkan Black Tigers melakar kemenangan keempat berturut-turut di gelanggang sendiri.

Selepas enam perlawanan, skuad bimbingan Faqhri Subhi masih belum tewas dan berada di kedudukan teratas dengan 14 mata, satu mata mengatasi SSN Perlis, SMK Syed Hassan.

SMK Syed Hassan turut mengharapkan gol minit akhir untuk membawa pulang tiga mata apabila jaringan Amirul Haikal seminit sebelum tamat perlawanan membantu mereka menewaskan SSN Pahang, SMK Seberang Temerloh dengan keputusan 1-0.

Aksi lain menyaksikan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ B-13 melonjak ke tangga ketiga setelah menewaskan Akademi Felda, SMK Presint 14 (1) Putrajaya dengan jaringan 4-0.

Daniel Edzuan menjaringkan gol pembukaan seawal minit keempat manakala tiga lagi jaringan hadir dalam tempoh tiga minit terakhir perlawanan menerusi Nabil Qayyum (m-67) dan Aliff Izwan Yuslan (m-69, 70). 

Akademi Johor Darul Takzim, SMK Bukit Indah pula kekal di tangga kelima setelah menang 1-0 ke atas SSN Negeri Sembilan, SMK Za’ba hasil jaringan Amirul Faqhi Jalil.

Sementara itu, saingan Liga Perdana KPM B-14 pula menyaksikan dominasi SSN Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R yang unggul di kedudukan teratas dengan 14 mata setelah mencatat kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan MSS Putrajaya.

SMK Tunku Anum mencatat kemenangan 4-0 menerusi jaringan Ariff Noor Hafiz (m-22), Syahmi Zuraidy (m-38), Hijjaz Hakimi (m-62) dan Hasnawi Muhammad (m-70) sekaligus menjadi kekalahan kelima berturut-turut buat MSS Putrajaya.

Perlawanan di Kem Terendak pula menyaksikan SSN Selangor, SMK Seksyen 11 dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas tuan rumah, SMK Kem Terendak (Akademi ATM).

SMK Kem Terendak mendahului dua kali pada minit keempat menerusi Khairul Aidiel dan Wan Mohamad Zaim (m-29) tetapi SMK Seksyen 11 menterjemahkan kebangkitan bergaya untuk membawa pulang tiga mata menerusi jaringan hatrik Aidil Zafri (m-10, 46, 71).

Jurulatih SMK Seksyen 11, Izwandy Tajuddin berkata beberapa kesilapan mudah memberi ruang kepada lawan untuk mendapatkan jaringan namun memuji semangat juang barisan pemainnya. “Mungkin pemain-pemain agak terlalu yakin setelah menang besar 8-0 ke atas MSS Putrajaya minggu lalu. Jadi prestasi agak tenggelam, longlai. Benteng pertahanan dan penjaga gol kerap melakukan kesilapan. Tapi di separuh masa kedua mereka betulkan apa yang kurang dan pulang dengan kemenangan,” kata Izwandy.

 

KEPUTUSAN (LIGA SUPER PIALA KPM B-14)

 

SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang)   0

SMK Syed Hassan (SSN Perlis)                   1

 

SMK Bukit Indah (Akademi JDT)            1

SMK Za’ba (SSN Negeri Sembilan)         0

 

SMK Mutiara Impian (SSN P.Pinang)       2

SMK Seri Titiwangsa (SSN K.Lumpur)     1

 

SSMP ‘A’ B-13                                                4

SMK Presint 14 (1) (Akademi Felda)       0

 

 

KEPUTUSAN (LIGA PERDANA KPM B-14)

 

SMK Kem Terendak (Akademi ATM)               2

SMK Seksyen 11 (SSN Selangor)                       3

 

SMK Tun Hussein Onn (SSN Johor)              0

SSMP ‘B’ B-13                                                      0

 

MSS Putrajaya                                                0

SMK Tunku Anum T.A.R (SSN Kedah)     4

Please follow and like us:
0