Oleh Muhammad Aiman

Datuk Seri Subahan Kamal bersedia mengotakan janjinya untuk berundur sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) seandainya gagal membawa pasukan hoki lelaki negara layak beraksi di Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

Subahan berkata itu adalah satu daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) yang diletakkan kepada dirinya sendiri sejurus memegang tampuk pimpinan KHM pada 2015.

Justeru beliau berpendapat jika sasaran itu gagal dicapai, ia membuktikan bahawa dia telah gagal dan badan induk hoki itu perlukan pemimpin lain untuk memacu perubahan.

“Saya datang ke sini untuk membawa perubahan, tetapi apa gunanya jika selepas dua tahun saya di KHM dan membelanjakan begitu banyak wang penaja, akhirnya kita masih terkapai-kapai dan gagal untuk layak ke Piala Dunia.

“Memang saya percaya kita tidak akan menghadapi masalah untuk layak (Piala Dunia), saya mempunyai keyakinan terhadap skuad kita kerana mereka telah diberi pendedahan tetapi jika gagal saya tidak akan mencari alasan dan akan berundur kerana itu antara KPI saya paling utama.

“Memang sebelum ini saya selalu katakan saya akan lepaskan jawatan andai gagal layak ke Sukan Olimpik 2020, tapi jika Piala Dunia 2018 pun kita tidak layak, kenapa saya perlu tunggu Olimpik untuk berundur, saya akan kotakan,” kata Subahan selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan KHM ke-64.

Untuk layak ke Piala Dunia, skuad Malaysia Tigers perlu sekurang-kurangnya menamatkan cabaran di saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di London, England yang akan berlangsung dari 15-25 Jun depan di kedudukan enam teratas.

Di London nanti, skuad bimbingan Stephen Van Huizen berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Argentina, Korea Selatan, China dan tuan rumah England.

Timbul keraguan di kalangan peminat dan pemerhati sukan tempatan mengenai keupayaan Malaysia menampilkan aksi terbaik di WHL setelah sekadar beraksi hambar menduduki tempat kelima dalam saingan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2017 yang berakhir baru-baru ini.

Namun Subahan percaya Van Huizen bersama pengarah teknikal, Terry Walsh akan mengkaji dan memperbaiki kelemahan terutamanya di dalam menyempurnakan pukulan sudut penalti sekaligus membantu Malaysia Tigers bangkit tepat pada waktunya.

- Advertisement -