Selepas pengambil alihan pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selain mengubah struktur pengurusan organinasi itu, baginda memulakan strategi mengubah corak bolasepak di Malaysia.

Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada, atau Nelo Viganda menjadi tumpuan selepas dipilih sendiri oleh Tunku Ismail untuk menerajui skuad kebangsaan pada 25 Mei lalu.

Hakikatnya, tanggungjawab pengendali berusia 65 tahun yang dikenali dengan Nelo Viganda tidak banyak berbeza dengan pengendali skuad kebangsaan terdahulu.

Jelas sekali misi The Professor adalah menyambung tugas yang dilepaskan oleh Datuk Ong Kim Swee yang akan mengendalikan Skuad bawah 22 Tahun untuk mengharungi Sukan SEA Ogos depan.

Dengan masa yang singkat, Viganda perlu mencari, mencongak dan melakar formula yang terbaik dalam tempoh dua minggu sebelum menentang Lubnan pada 13 Jun di Stadium Larkin sebelum aksi berdepan Korea Utara pada 5 Oktober.

Dari satu aspek, tempoh dua minggu tempoh tidak cukup panjang untuk melakukan persiapan ditambah tiada perlawanan persahabatan sebagai medium dalam mengenali kemampuan pemain.

Samada gelaran yang diberikan kepada Viganda menggambarkan kemampuannya untuk menyerap tekanan dan menguruskan keadaan berdasarkan keadaan semasa, akan ditentukan pada dua perlawanan pertama Viganda kelak.

Kehadiran Tan Cheng Hoe sebagai pembantu sedikit sebanyak mampu memberikan gambaran kepada Viganda tentang kemampuan pemain pemain yang dipanggil.

Tidak ada keraguan yang perlu dipersoalkan terhadap Cheng Hoe kerana kemampuannya sebagai jurulatih tempatan boleh dikatakan sudah terbukti ketika beliau membawa Kedah.

Malah, Tan Cheng Hoe antara karakter penting bersama sama Datuk K Rajagobal yang mengemudi skuad kebangsaan pada 2009 hingga 2013 sebelum menjadi jurulatih sementara pada tahun berikutnya.

Selain mengenali pemain, Viganda juga perlu ‘menyesuaikan’ diri dengan corak musim Liga Malaysia khsusunya bagi mencari ruang untyuk melakukan latihan pusat.

Hakikatnya, cerita yang akan menjadi perbualan pastinya perbandingan dalam mengendalikan skuad kebangsaan diantara kemampuan tenaga luar dan tempatan.

Nelo Viganda merupakan jurulatih luar negara yang mengendalikan skuad kebangsaan dalam tempoh lebih 10 tahun selepas kali terakhir Harimau Malaysia dikendalikan oleh Bertalan Biskei pada 2004.

Malah beliau merupakan pengendali dari luar negara ke 17 yang diberi peranan mengendalikan skuad bolasepak kebangsaan sejak Otto Wesphal menjadi jurulatih asing pertama membawa Malaysia pada 1965.

Dari satu aspek, Tunku Ismail mungkin perlu memberi tumpuan terhadap pemain pemain pelapis yang ada pada masa kini.

Pemain muda khsususnya yang berada di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee memerlukan perancangan yang berterusan selain mengharungi perlawanan kompetitif selepas program Harimau Muda dimansuhkan.

Siapa yang dipilih, siapa yang kembali samada pemain muda atau tua, ia bukan cerita utama.

Tetapi semua pihak perlu memberikan masa kepada Viganda dan barisan kejurulatihan, mereka mampu mengubah corak bolasepak di Malaysia. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -