Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri hampir mencipta kejutan dalam acara 1m papan anjal individu wanita pada hari pembukaan saingan Piala Terjun Asia di Macau, pada Jumaat.

Atlet berusia 17 tahun itu tampil dengan prestasi bertenaga untuk memberi tentangan sengit kepada penerjun pilihan dari China, Liu Huixia yang juga juara dunia dua kali dalam acara 10m platform sebelum berpuas hati meraih pingat perak.

Huixia memenangi emas dengan 279.60 mata manakala Dhabitah pula mengumpul 278.35 mata tatkala seorang lagi penerjun negara, Cheong Jun Hoong menambah ceria di kem negara apabila meraih pingat gangsa dalam penampilan sulungnya setelah kembali dari kecederaan.Ā 

Jurulatih pasukan terjun negara, Yang Zhuliang nyata cukup gembira melihat peningkatan ditunjukkan anak didiknya itu apatah lagi bagi Dhabitah yang lebih pakar dalam acara platform, ini kali pertama dia mengambil bahagian dalam acara 1m papan anjal.

ā€œDhabitah tewas kepada Huixia dengan beza 1.25 mata, ini membuktikan tiada jurang besar antara Malaysia dan China dalam acara ini. Malah, saya awalnya mensasarkan hanya seorang sahaja penerjun kita yang akan berada di podium kerana China mempunyai dua wakil. Dhabitah dan Jun Hoong menafikan kedudukan podium buat Xu Zhihuan, sudah tentunya ia pencapaian hebat.

ā€œMalah bagi Jun Hoong, untuk dia menamatkan saingan di tiga teratas sangat memuaskan kerana dia baru pulih dari kecederaan. Dia juga beraksi pada tahap kesukaran yang lebih rendah jadi saya perlu berikan kredit di atas komitmen dan usaha ditunjukkannya.ā€ kata Zhuliang.

Untuk rekod, kecederaan belakang dialami Jun Hoong memaksa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016 itu untuk menarik diri dari beraksi di Siri Terjun Dunia di Kazan, Russia dan Windsor, Kanada. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -