Selepas enam tahun ‘berpisah’, Datuk Misbun Sidek bakal kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki.

Perkara itu diumumkan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria yang berkata pelantikan semula jurulatih berusia 57 tahun itu dibuat kerana beliau dilihat sebagai individu paling tepat untuk memulihkan prestasi pemain-pemain perseorangan lelaki yang semakin tenat seterusnya membentuk mereka menjadi bertaraf dunia.

“Semua tahu siapa Misbun dan sumbangannya. Kita telah berbincang dengannya, beliau jurulatih yang faham apa yang diperlukan bagi membentuk pemain bagus dan seorang yang mempunyai rekod yang baik.

“Saya juga mahukan seorang jurulatih yang dihormati semua termasuklah (Datuk) Lee Chong Wei sendiri. Seperti saya katakan, saya mahu membentuk sebuah sistem di mana semua pihak bekerjasama dengan baik,” kata Norza dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara pada Khamis.

Selain pernah membimbing Chong Wei memenangi pingat perak pertama Sukan Olimpik di temasya Beijing 2008, antara pemain berprofil tinggi lain pernah mendapat sentuhan dan tunjuk ajar Misbun adalah pasangan adik-beradik Roslin (bekas pemain nombor satu dunia) dan Hafiz Hashim (juara All England 2003).   

Selepas menyumbang khidmat selama lapan tahun bermula 2003, Misbun membuat keputusan meninggalkan BAM pada 2011 gara-gara tidak sebulu dengan pengurusan badan induk itu.   

Kembalinya Misbun akan menyaksikan perubahan pada struktur kejurulatihan dengan jurulatih sedia ada Tey Seu Bock diberi peranan baru selaku ketua jurulatih perseorangan wanita manakala Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob akan bertindak sebagai pembantu Misbun.

Dalam pada itu pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996, Cheah Soon Kit turut menjadi wajah baru direkrut BAM di mana dia akan bertanggungjawab membimbing beregu lelaki dengan dibantu oleh Rosman Razak dan Jeremy Gan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

Struktur kejurulatihan baru BAM (bermula Julai) :

Perseorangan Lelaki

Ketua jurulatih : Datuk Misbun Sidek

Penolong : Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayub

 

Perseorangan Wanita

Ketua jurulatih : Tey Seu Bock

Penolong : Rony Augustinus

 

Beregu Lelaki

Ketua jurulatih : Cheah Soon Kit

Penolong : Jeremy Gan, Rosman Razak

 

Beregu Wanita

Ketua jurulatih : Wong Pei Tty

Penolong : Lim Pek Siah, Hoon Thien How

 

Beregu Campuran

Ketua jurulatih : Chin Eei Hui

Penolong : Pang Cheh Chang, Teo Kok Siang

- Advertisement -