Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memuktamadkan senarai akhir barisan pemain skuad negara yang akan membawa cabaran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Mesyuarat Latihan dan Kejurulatihan (T&C) badan induk itu, 8 Jun ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata beliau percaya BAM tetap dapat menyenaraikan barisan pemain terbaik meskipun kesemua pemain elit tidak dapat beraksi kerana terbabit dengan Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland.

“Tarikh akhir untuk Kejohanan Dunia baru lepas, kita masih dalam perbincangan dan akan tetapkan barisan pemain untuk serahkan kepada jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam mesyuarat nanti.

“Saya yakin kita mempunyai pemain-pemain muda yang bagus dan berkaliber untuk menyumbang di Sukan Sea namun sudah tentunya dari segi persediaan perlu lebih rapi kerana kita akan menerima tentangan hebat negara lain terutamanya Thailand yang dijangka akan menurunkan skuad terkuat mereka,” kata Norza pada Jumaat.

Norza turut menyatakan bahawa pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang kembali pulih dari kecederaan belakang dialami sejak beberapa bulan lalu bakal menjadi sandaran utama di KL 2017 berikutan ketiadaan Dato’ Lee Chong Wei. 

Dalam pada itu, Norza menjelaskan mesyuarat T&C pada minggu depan itu akan turut membincangkan lebih terperinci mengenai masa depan pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menunjukkan prestasi hambar sepanjang tahun ini.

“Kita mengambil maklum prestasi semasa mereka yang tidak menentu, kita akan nilai prestasi terutamanya di Piala Sudirman dan kejohanan-kejohanan sebelum ini. Untuk terus mengekalkan atau memisahkan mereka, kita perlu mendengar apa perancangan Morten Frost (Pengarah Teknikal) setelah dia menerima maklum balas dari jurulatih.

“Saya sudah beritahu Frost, mereka perlu mempunyai perancangan kukuh dalam memberi keyakinan untuk kekal bersama dalam beberapa bulan mendatang. Kita tidak boleh terima sahaja apa keputusan yang mereka bawa pulang dari mana-mana pertandingan, perlu ada satu KPI dan jika ia tidak dipenuhi bermakna mereka gagal,” kata Norza lagi.

Untuk rekod, pasangan beregu lelaki ketika ini di bawah bimbingan Jeremy Gan manakala beregu wanita pula mendapat tunjuk ajar Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui.

V Shem-Wee Kiong yang menamatkan 2016 selaku pasangan nombor satu dunia tidak layak lebih dari peringkat suku akhir dalam semua pertandingan disertai tahun ini dan begitu juga nasib menimpa Vivian-Khe Wei sekaligus menimbulkan persoalan apakah mereka masih relevan untuk digandingkan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -