76 hari lagi sebelum saingan Sukan SEA ke 29 bakal membuka tirainya pada 19 Ogos, senarai lengkap atlet yang akan mengambil bahagian hampir di fasa terakhir.

Salah satu lubuk emas Malaysia di temasya dwi tahunan itu, badminton, dimana senarai pemain yang akan mengambil bahagian akan diputuskan minggu depan.

Perkara tersebut disahkan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia, Morten Frost Hansen.

“Kami akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Selasa depan dimana senarai pasukan akan dikemaskini,”kata Frost.

Frost turut menambah Malaysia sudahpun menetapkan sasaran kutipan pingat untuk kontinjen Malaysia di Sukan SEA nanti.

“Di Sukan SEA, kami meletakkan sasaran dua pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa,”Katanya lagi.

Sukan SEA edisi 2015 di Singapura, Malaysia meraih dua pingat emas , empat pingat perak dan dua pingat gangsa.

Emas diperolehi menerusi acara individu iaitu perseorangan lelaki (Chong Wei Feng) dan bergu wanita (Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho)

Manakala pingat perak hadir menerusi Mohd Arif Abdul Latif (perseorangan lelaki), Vivian Hoo Kah Mun – Woon Khe Wei (bergu wanita), Chan Peng Soon – Goh Liu Ying (bergu campuran) dan acara berpasukan wanita.

Gangsa pula disumbang Goh Jin Wei (perseorangan wanita) dan acara berpasukan lelaki.

Dalam perkembangan berasingan, pemain wanita yang beraksi dalam bergu campuran, Goh Liu Ying dijangka pulang bulan ini selepas menjalani program pemulihan dan fisioterapi susulan kecederaan bahunya di Jerman.

“Setakat yang saya tahu, makluman yang diterima, proses pemulihan berjalan dengan baik dan semua sedia maklum, beliau (Goh Liu Ying) tidak akan beraksi untuk satu tempoh yang lama.

“Kita akan menilai keadaan terkininya selepas dia pulang dari Jerman tetapi tarikh sebenar masih belum diketahui lagi,”Kata Frost.

Goh Liu Ying mengalami kecederaan bahu sejak Mac lalu dan telah pun menjalani pembedahan sebelum dihantar ke Pusat Sains Sukan Halle di Jerman untuk mendapatkan rawatan pemulihan, dan khidmat nasihat daripada pakar khas bahagian perubatan sukan. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -