Berada di kedudukan pendahulu Liga Super Piala Menteri Pelajaran Malaysia B-14 belum membuatkan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian berada di zon selesa.

Sebaliknya pasukan dengan jolokan Black Tigers itu sedar cabaran lebih berat menanti sebaik saingan kembali bersambung selepas Hari Raya Aidilfitri.

Justeru jurulatihnya, Muhammad Faqhri Sobri berkata latihan diadakan sebanyak dua sesi pada bulan Ramadhan bagi memastikan pemain-pemain kekal berada pada tahap kecergasan dan prestasi terbaik.

“Kita baru sahaja kembali berlatih pada Selasa selepas cuti sekolah selama dua minggu sebelum ini. Perlu diakui persiapan sepanjang Ramadhan agak mencabar dari segi pengurusan masa, kami buat latihan dua sesi iaitu petang dan malam.

“Untuk sesi petang, latihan diadakan bermula jam 6.50 petang sehingga waktu berbuka. Saya guna tempoh ini untuk perbetul teknik dan kekalkan sentuhan para pemain.

Manakala sesi malam pula, dibuat selepas terawih , waktu ini saya fokus pada aspek kecergasan selain kekalkan ketahanan, tenaga, kekuatan dan ketangkasan mereka,” jelas Muhammad Faqhri.

Untuk rekod, SMK Mutiara Impian menyepak mula saingan musim baru dengan tiga kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri namun sekadar seri dalam dua perlawanan berikutnya di gelanggang lawan dan kemudiannya mengakhiri saingan sebelum cuti Ramadhan dengan kemenangan 2-1 ke atas SSN Kuala Lumpur, SMK Seri Titiwangsa.

Mereka kini mengumpul 14 mata, berkelebihan hanya satu mata mengatasi pasukan tangga kedua SSN Perlis, SMK Syed Hassan manakala Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP ‘A’ B-13) di tangga ketiga dengan 12 mata – empat pasukan teratas dalam kedudukan liga akan melangkah ke peringkat suku akhir Piala KPM B-14.

Menurut Faqhri lagi, perubahan format saingan tahun ini di mana aksi liga hanya dilangsungkan sepusingan (berbanding dua pusingan pada tahun-tahun sebelumnya) turut menjadikan setiap perlawanan itu sebagai penting dan tiada ruang untuk pemainnya melakukan kesilapan.

“Sebelum ini kalau cicir mata pada perlawanan kelima, keenam, ketujuh, ada banyak perlawanan lagi untuk bangkit balik. Kali ini liga hanya 10 perlawanan sahaja, kiranya kita sudah harungi lebih daripada separuh saingan. Jadi setiap perlawanan itu ibarat perlawanan akhir bagi kami.

“Empat perlawanan yang berbaki semuanya sengit di mana kami akan jumpa pasukan di kelompok atasan. Kami tidak boleh pandang rendah mana-mana lawan dan sedar hanya usaha yang lebih sahaja boleh menjamin kejayaan,” ujarnya.      

SMK Mutiara Impian akan meneruskan baki saingan dengan menentang SSMP ‘A’ B-14 di gelanggang sendiri pada 8 Julai, diikuti SMK Syed Hassan (15 Julai), SSMP ‘A’ B-13 (22 Julai) dan perlawanan terakhir menentang SMK Seberang Temerloh (9 September).  

- Advertisement -