Persoalan sama ada Kelantan akan dapat mendaftarkan pemain import baru mereka, Seydi Imam bagi menggantikan Alessandro Celin akan terjawab pada Sabtu (17 Jun), menurut Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Dalam senarai muktamad perpindahan pemain di jendela kedua Liga Malaysia yang telahpun ditutup pada 11 Jun lalu, nama Imam tiada dalam senarai dengan hanya pemain Lubnan Abou Bakr Al Mel satu-satunya pemain baru direkrut pasukan juara treble 2012 itu menggantikan Mohamed Ghaddar.

Ini menimbulkan tanda tanya adakah pendaftaran Imam tidak diluluskan oleh FMLLP meskipun sebelum ini mereka memberi bayangan akan kesediaan untuk memberi kelonggaran kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendaftar seorang lagi pemain baru.  

Begitupun, Kevin mengatakan keputusan mengenai pemain kelahiran Perancis itu sebenarnya lewat dibuat dan masih di peringkat menunggu ketika jendela perpindahan ditutup memandangkan Kelantan mengemukakan rayuan pada 5 Jun lalu untuk dilepaskan dari sekatan perpindahan.

“Kita sudah meneliti rayuan Kelantan sebaik menerima dokumentasi dan keputusan mengenai Imam sudahpun kita buat dalam satu mesyuarat lembaga pengarah baru-baru ini. Tetapi kami perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada Persatuan Bolasepak Kelantan mengenai status pemain itu, selepas itu kami akan keluarkan satu kenyataan media,” kata Kevin.

Sebelum ini, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa ‘melenting’ di media sosial dan lantang mempersoalkan professionalisme FMLLP di dalam menangani isu sekatan perpindahan yang dikenakan ke atas pasukan itu memandangkan badan itu dilihat tidak konsisten di dalam membuat keputusan sehinggakan ada keputusan yang menurutnya dilihat seperti sengaja mahu menjatuhkan pasukan itu.

Ini kerana FMLLP menolak permintaan pasukan itu mendaftarkan Imam sebagai pengganti Celin atas alasan masih di dalam sekatan perpindahan sedangkan dalam jendela perpindahan sama mereka membenarkan Kelantan membawa masuk Abou Bakr sebagai pengganti kepada Ghaddar.

Dalam pada itu, dua pasukan tercorot Liga Super, Melaka dan Pulau Pinang menjadi pasukan yang paling banyak membuat rombakan pemain ketika jendela perpindahan kedua bagi memperkasakan pasukan mengharungi baki saingan Liga-M musim ini.

Melaka menggugurkan 10 pemain iaitu Akmal Ishak, Alif Shamsudin, Ilija Spasojevic, Sergio Aguero, Abdul Thaufiq Abdul Haq, Tam Sheang Tsung, Khairu Azrin Khazali, Amri Yahyah, Syed Sobri Syed Mohd dan Godwin Antwi dan membawa masuk lapan pemain iaitu Jasmin Mecinovikj, Norhakim Isa, Fandi Othman, Nicolas Swirad, S.Sivanesan, Felipe Souza, Azinee Taib dan Marko Simic.

Manakala Pulau Pinang pula mengugurkan tiga pemain import iaitu Reinaldo Lobo, Andrew Russell serta Diogo Fereira dan merekrut tujuh pemain iaitu Darwira Sazan, Azidan Sarudin, Elias Sulaiman, Sanna Nyasi, R.Surendran, Mark Hartmann dan Brandon McDonald.

Felda United tidak kurang ligatnya di pasaran perpindahan apabila menggugurkan enam pemain dan membawa masuk enam pemain baru tatkala Johor Darul Takzim memperkasakan barisan tengah dengan merekrut Ignacio Insa dari kelab Sepanyol setelah terdahulu mendapatkan Ghaddar.

Hanya juara Piala Malaysia, Kedah satu-satunya pasukan yang tidak terlibat dalam pasaran perpindahan kedua. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -