Jalur Gemilang berkibar megah sekali lagi di bumi London – kali ini giliran atlet lompat jauh paralimpik, Abdul Latiff Romly pula menyumbangkan pingat emas buat kontijen negara di Kejohanan Olahraga Para Dunia pada Ahad.

Lebih manis, Abdul Latiff melakar kejayaan dalam aksi akhir lompat jauh T20 (kurang upaya intelektual) dengan catatan 7.37m pada lompatan kelima sekaligus memperbaharui rekod kejohanan 7.35m miliknya sendiri yang dicatatkan dua tahun lalu di Doha, Qatar.

Atlet kelahiran Perlis itu bermula dengan agak perlahan di Stadium Olimpik apabila tiga lompatan pertamanya tidak melepasi angka 7m namun tampil dengan lebih bertenaga dan meyakinkan bermula dengan lompatan keempat.

Pingat perak dimenangi oleh atlet dari Croatia, Zoran Talic dengan catatan 7.32m manakala gangsa pula menjadi milik Dmytro Prudnikov dari Ukraine dengan lompatan sejauh 7.12m.

Untuk rekod, Abdul Latiff juga masih merupakan pemegang rekod lompat jauh T20 dunia dengan catatan 7.6m yang dilakukan ketika memenangi pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Rio De Janeiro, September 2016.

Malaysia ketika ini sudah mengenggam dua emas di Kejohanan Para Dunia yang berlangsung dari 14-23 Julai setelah terdahulu atlet lontar peluru, Ziyad Zolkefli menyumbangkan emas pertama dengan memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri.

Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.29m sekaligus memadam catatan 16.84m yang direkodkannya ketika menghadiahkan emas di Sukan Paralimpik Rio seterusnya merampas semula pingat emas yang pernah dimenanginya empat tahun lalu ketika beraksi di Lyon. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -