Khairul Hafiz Jantan meleburkan rekod kebangsaan acara pecut 200 meter lelaki dengan catatan masa 20.90 saat,0.02 saat lebih pantas berbanding catatan yang dilakar Dato’ Dr. M. Jegathesan 49 tahun lalu ketika sukan olimpik 1968 di Mexico. Kredit Foto – Rozmi Yunus / www.asiana.my

“TIDAK sangka sama sekali dan amat bermakna…kejayaan ini hasil strategi jurulatih,” demikian luahan kata-kata raja pecut Khairul Hafiz Jantan sebaik melakar kejayaan meleburkan rekod kebangsaaan 200 meter berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr. M Jegathesan.

Kejayaan yang hadir awal buat Khairul, dengan Sukan SEA 2017 berbaki 31 hari, diharap dapat melonjak semangat pelari pecut berusia 18 tahun itu pada temasya serantau bulan depan.

Rekod yang dipegang Tan Sri Dr Jegathesan sekian lama itu lebur dengan keupayaan Khairul mencatat 20.90 saat, 0.02 saat lebih pantas dari catatan masa Tan Sri Dr M Jegathesan (20.92 saat) yang dilakar ketika di Sukan Olimpik 1968 di Mexico. Kejayaan manis itu dicapai pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jali pada Selasa (18 Julai 2017).

Kejohanan yang berlangsung sejak semalam itu merupakan pentas menguji tahap kesediaan penganjur menghadapi Sukan SEA KL 2017 bulan depan.

 “Saya bersyukur kepada Allah, dengan izinya saya memecahkan rekod 200 meter hari ini. Terima kasih kepada jurulatih saya Mohd Poad Md Kassim, keluarga dan rakan rakan seperjuangan.

“TIDAK sangka sama sekali dan amat bermakna…kejayaan ini hasil strategi jurulatih,” ujar Khairul Hafiz Jantan sebaik melakar kejayaan meleburkan rekod kebangsaaan 200 meter berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr. M Jegathesan. Kredit Foto – Rozmi Yunus / www.asiana.my

“Ini pencapaian amat bermakna kerana tidak sangka dapat pecahkan rekod ini…semangat untuk meraih kejayaan pada Sukan SEA bulan depan makin membuak kerana saya sudah nampak strateginya… hanya perlu mengikuti strategi jurulatih,”kata Khairul. 

Sementara itu, bagi  Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, kejayaan Khairul Hafiz pastinya menambah kehangatan menjelang Sukan SEA KL 2017 dan pasti ditunggu peminat.  

Tidak mustahil temasya Sukan SEA nanti bakal mencatat sejarah menjadi pentas bagi atlet negara memecahkan rekod dalam tiga acara sekaligus, iaitu 100m, 200m dan 400x100m, kata Datuk Karim.

“Rekod berkenaan adalah sah kerana segalanya termasuk aspek masa, tiada kesalahan ketika memulakan larian atau “false start”. Jika ianya rekod Asia atau dunia, ianya melibatkan dan memerlukan pengesahan daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

“Selain acara pecut, saya jangkakan akan ada rekod baru akan dalam acara padang seperti lompat tinggi, lempar cakera, dan baling tukul,”kata Datuk Karim.

Atlet kelahiran Vietnam, Le Trong Hinh muncul pemenang pingat emas 200 meter pada Sukan SEA ke 28 di Singapura dua tahun lalu dengan catatan masa 20.89 saat.

- Advertisement -