Kelab Jogo Polo mencipta kejutan apabila berjaya membenam pasukan pilihan Kelab Polo Putra 9-6 pada aksi final Kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2017 di Kelab Polo Diraja Selangor, hari ini (16 Julai).

Y.B. Brig. Jen. Khairy Jamaluddin yang mengetuai pasukan itu berkata, perlawanan tersebut berlangsung sengit dimana pada awal pembukaan perlawanan pasukan beliau ketinggalan 2-0 dan pada chukka ketiga kedua-dua pasukan terikat 6-6 dalam masa sebenar perlawanan.

“Awai tadi kita sudah ketinggalan dengan mata 2-0, jadi kita terpaksa main banyak pertahanan menjaga Datuk Seri Norza untuk pastikan dia tidak menjaringkan terlalu banyak ‘goal’.

“Akhirnya strategi kita mencapai matlamat, dan alhamdulillah, kita telah mendapat kemenangan. Namun demikian perlawanan sebentar tadi sangat-sangat sengit bagi saya,” katanya ketika ditemui di Kelab Polo Diraja Selangor, hari ini (16 Julai).

Sementara itu, pasukan yang dianggotai Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Polo Putra hanya berpuas hati dengan kedudukan tempat kedua selepas ditumpaskan oleh pasukan Jogo Polo 9-6.

“Pertama sekali, saya ucapkan tahniah kepada Jogo Polo. Walaupun kita gagal mempertahankan kejuaraan bagi kali ketiga, namun saya berpuas hati kerana kita memberikan tentangan yang hebat kepada Jogo Polo yang hanya dapat kalahkan kita di chukka terakhir,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi Y.B. Brig. Jen. Khairy Jamaluddin menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Mohamad Norza berkata beliau melihat pasukan Khairy yang mengetuai pasukan dengan bagus kerana sebelum ini pasukan beliau hanya mampu berada di semi final sahaja.

Ditanya mengenai pingat emas bagi KL2017 pula, Mohamad Norza berkata, ” Bagi saya sukan polo ini memang merupakan secara tradisinya sejak dahulu lagi kita memegang emas oleh itu saya yakin dan percaya kita akan kekalkannya,” katanya.

Seramai tujuh pemain telah disenaraikan untuk membawa cabaran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos nanti dan enam daripada mereka ketika ini sedang menjalani latihan pusat di Pekan, Pahang.

Ketika kali terakhir sukan polo dipertandingkan di temasya Korat 2007, Malaysia memenangi emas dengan menewaskan Singapura di perlawanan akhir manakala gangsa milik Thailand. – BY HUSNIYAH GHAZALI

- Advertisement -