Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin mengharapkan keajaiban berulang lagi selepas negara dikejutkan dengan kejayaan beberapa atlet merangkul kejuaraan dunia baru-baru ini. 
YB Brig Jen Khairy Jamaluddin berkata tumpuan kini disandarkan kepada jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk memburu kejuaraan itu di Glasgow, Scotland bulan depan. 
“Saya akui tahun ini adalah tahun pencapaian terbaik sukan negara dengan beberapa atlet kita sudah merangkul kejuaraan dunia. 
“Walau bagaimanapun, tekanan kini lebih kepada Chong Wei kerana beliau pemain terhebat Malaysia namun masih belum menang Kejuaraan Dunia, namun pencapaian Azizulhasni dan Jun Hoong baru-baru ini meringankan beban beliau,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Koleksi Terhad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) semalam (21 Julai). 
Khairy berkata ketika bertemu Chong Wei baru-baru ini, beliau menyatakan tentang kehebatan Roger Federer yang berusia 35 tahun namun masih mampu bergelar juara di Australia. 
“Saya katakan kepada Chong Wei umur bukanlah faktor (penghalang) untuk bergelar juara. Jadi saya berharap beliau akan melakukan yang terbaik kali ini,” katanya lagi.
Untuk kejohanan dunia ini, Datuk Lee Chong Wei berkemungkinan akan melakukan percubaan terakhir di Kejohanan Badminton Dunia pada 21-27 Ogos depan di Arena Emirates Arena di Glasgow, Scotland. 
Terdahulu, Datuk Lee Chong Wei pernah menyertai empat Kejohanan Dunia dan beliau hanya memperolehi tiga pingat perak iaitu di Kejohanan Dunia London 2011, Kejohanan Dunia Guangzhou 2013 dan Kejohanan Dunia Jakarta 2015 serta satu gangsa di Kejohanan Dunia Anaheim 2005. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI
- Advertisement -