En Shaiful dan wakil Kementerian Belia dan Sukan mengadakan tinjauan ke gelanggang bola jaring di Stadium Juara.

JAWATANKUASA Penganjur Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 berpuas hati dengan tahap persediaan tiga venue utama Sukan SEA ke-29 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Bukit Kiara dan Pusat Tenis Negara (NTC) Kuala Lumpur. Kumpulan pengurusan MASOC yang diterajui Ketua Pegawai Operasi MASOC En Shaiful Subhan pada Ahad (23 Julai) bagi meninjau dan memastikan kerja-kerja persiapan di venue berkenaan siap menjelang bermula Sukan SEA Ogos ini. Turut sama, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Belia dan Sukan En Norazli Indzam dan wakil Kementerian, pegawai persatuan sukan terbabit dan kontraktor.

Sukan SEA ke-29 bermula secara rasmi dengan pembukaan rasmi pada 19 Ogos tetapi beberapa pertandingan bermula awal mulai 14 Ogos ini.

MITEC, yang merupakan antara tiga hab utama temasya, menjadi fokus kerana bukan sahaja menempatkan lapan pertandingan sukan (muay, lawan pedang, bola tampar, angkat berat, hoki dalam dewan, gimnastik (artistik dan gimrama), ping pong dan tinju), tetapi juga bakal menjadi tempat tumpuan media cetak dan elektronik kerana menempatkan Pusat Media Utama (MPC) dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC).

MITEC juga menjadi venue tujuh acara bagi Sukan Para ASEAN ke-9 iaitu catur, boccia, goalball, ping pong, powerlifting, bola tampar duduk dan bola keranjang kerusi roda.

Kerja-kerja menyiapkan venue dan MPC sedang rancak dijalankan manakala syarikat produksi luar negara yang mengendalikan urusan pembinaan dan kelengkapan teknikal IBC sudah pun memasuki pusat penyiaran itu sejak 1 Julai lepas.

“MITEC telah diserah kepada MASOC beberapa minggu lepas, jadi ketika ini selain di dalam dewan, kerja di luar bangunan juga sedang rancak,” kata En Shaiful.

“Kami sasarkan konsortium penyiar Sukan SEA dapat memasuki IBC mulai 1 Ogos ini dan berharap dewan-dewan pertandingan juga dapat digunakan lebih awal bagi tujuan latihan oleh atlet,” kata beliau.

MASOC berpuas hati dengan persiapan di Bukit Kiara yang menjadi hos sukan bola jaring dan boling padang yang kini sedang digunakan bagi kejohanan pra Sukan SEA bagi menguji pelbagai kemudahan dan tahap kesediaan.

Gelanggang bola jaring di Stadium Juara dibuka awal mulai 14 Ogos membabitkan perlawanan peringkat awal sebelum aksi final dijadual berlangsung pada 20 Ogos.

“Lawn Bowls pula tiada masalah, sebenarnya pada hari ini (Ahad 23 Julai), berlangsung acara pra Sukan SEA bagi menguji kelengkapan dan sistem di venue,” kata En Shaiful.

Secara keseluruhan, persiapan di MITEC, Bukit Kiara serta NTC sudah 90 peratus siap dan MASOC akan mempergiatkan penyelarasan dengan jawatankuasa lain seperti protocol, makanan, teknikal, serta persatuan sukan kebangsaan dan pasukan overlay untuk memastikan segalanya siap sepenuhnya.

- Advertisement -