KL2017 mungkin jadi penentu masa depan gandingan Vivian-Khe Wei

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/07/kl2017-mungkin-jadi-penentu-masa-depan-gandingan-vivian-khe-wei">
Twitter
Pinterest

Pencapaian di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan, mungkin menjadi antara pengukur penting di dalam menentukan masa depan gandingan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei sama ada terus dikekalkan atau dipisahkan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mensasarkan dua emas, dengan satu daripadanya menerusi acara beregu wanita. Malaysia merupakan penyandang pingat emas acara itu sejak dua edisi Sukan SEA yang lalu malah Vivian-Khe Wei sendiri telah memenangi emas ketika di Myanmar 2013.

Justeru, pasangan nombor 14 dunia itu sedar tiada pencapaian yang boleh dianggap lebih baik selain dari memenangi pingat emas dan mereka tampak bersedia memikul tanggungjawab berat itu bagi membuktikan mereka masih merupakan beregu wanita nombor satu negara. 

Walaupun menunjukkan prestasi hambar dan gagal menyerlah di kejohanan-kejohanan besar sepanjang tahun ini dengan pencapaian terbaik hanyalah mara ke peringkat suku akhir Terbuka Switzerland dan Kejohanan Badminton Asia, Khe Wei berkata dia dan Vivian dalam landasan terbaik mendapatkan semula momentum.

Mereka akan beraksi di Terbuka New Zealand di Auckland dari 1-6 Ogos depan yang juga akan menjadi platform persiapan terakhir sebelum membawa cabaran di Sukan SEA.

“Memang saya dan Vivian tidak beraksi baik sejak kebelakangan ini dan ianya lebih ketara selepas berakhirnya Piala Sudirman (pada Mei). Persefahaman antara kami terganggu, kami tidak dapat menterjemahkan keserasian dan ini jelas menjejaskan keyakinan kami.

“Begitupun kami tidak pernah berputus asa. Apa yang menggembirakan adalah kami semakin jelas dengan objektif kami dan kami bermain dengan lebih baik sewaktu sesi latihan. Presiden mahu kami menangi emas dan kami akan bekerja keras bagi mencapai sasaran itu,” kata Khe Wei.

Tambahnya lagi, “Kami melipatgandakan usaha sepanjang latihan bagi memperkemas apa yang patut. Sesi latihan cukup memenatkan sehinggakan terpaksa bertahan dengan sakit kaki tetapi saya tahu itu semua normal dan perlu terus positif kerana Sukan SEA inilah peluang terakhir buat kami membuktikan sesuatu.”

Manakala Vivian pula berpendapat, “Saya dan Khe Wei telah berehat seketika dari menyertai mana-mana pertandingan bagi menilai dan mendapatkan semula sentuhan setelah melalui saat-saat sukar.

“Kini kami turun dengan semangat baru, memberi fokus terhadap keadaan fizikal. Kami harap dapat lakukan sesuatu di Terbuka New Zealand, keputusan yang baik di sana sudah tentu memberi kami motivasi untuk menyerlah di Sukan SEA.”

Untuk rekod, Vivian dan Khe Wei mencuri tumpuan di temasya Myanmar 2013 apabila mengejutkan beregu pilihan utama dari Indonesia, Nithiya Krishinda Maheswari-Greysia Polii di perlawanan akhir dalam laluan memenangi emas.

Gandingan itu bagaimanapun sekadar berpuas hati dengan pingat perak di temasya Singapura 2015 setelah tewas kepada rakan senegara, Amelia Anscelly-Soong Fie Cho. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0