Gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong menceriakan kem negara setelah mara ke aksi final 10m platform seirama Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary sebentar tadi.

Mereka mara setelah menamatkan cabaran di pusingan kelayakan di tempat keempat dari 16 peserta dengan mengumpul 309.66 mata.

Pusingan kelayakan itu diungguli pasangan juara Siri Terjun Dunia dari China, Ren Qian-Si Yajie (334.32 mata) diikuti gandingan dari Korea, Kim Kkuk Hyang-Kim Mi Rae (325.62 mata) dan Kovchenko Taneka-Melissa Wu dari Australia dengan 311.16 mata.

Aksi final membabitkan 12 pasangan akan berlangsung lewat malam Ahad dan jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang percaya pasangan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016 itu berpeluang untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa.

“Untuk menang pingat emas adalah sukar, tetapi peluang menaiki podium tetap ada sekiranya mereka memperkemaskan sedikit lagi rutin mereka menjelang aksi akhir,” kata Zhuliang.

Sementara itu, dalam aksi final 3m papan anjal seirama lelaki, gandingan Ooi Tze Liang-Chew Yi Wei berkesudahan di tempat kesepuluh dengan 370.77 mata manakala hasrat Jun Hoong untuk cuba melakar kejutan dalam saingan akhir 1m papan anjal individu wanita tidak kesampaian setelah sekadar menduduki tempat ke-12 dengan 252.45 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -