Peluang pasukan B-22 negara untuk meneruskan kemaraan ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di China tetap tipis meskipun berjaya menewaskan Mongolia B-22 dalam aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Nasional Bangkok pada Ahad.

Ini kerana peraturan pertandingan menetapkan bahawa keputusan menentang pasukan tangga keempat kumpulan tidak akan diambil kira untuk menentukan lima pasukan naib juara kumpulan terbaik bagi mengiringi 10 juara kumpulan mara ke pusingan akhir.

Jika terjadi situasi mata antara dua pasukan terikat, maka rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan itu akan diambil kira untuk menentukan kedudukan di dalam kumpulan, kemudian barulah beza jaringan.

Mahu tidak mahu, skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee itu perlu meneruskan kemaraan selaku juara kumpulan justeru mereka mengharapkan ‘bantuan’ dari seteru tradisi, Indonesia untuk sama ada mengikat atau menang ke atas pendahulu, Thailand dalam satu lagi perlawanan.

“Apa sahaja situasinya kini, kita wajib menang ke atas Mongolia. Sekiranya Indonesia berjaya mengikat atau menewaskan Thailand, kita akan muncul juara kumpulan dan mara secara automatik ke pusingan akhir.

“Bagi saya, itu lebih baik kerana sekiranya kita tamatkan saingan di tempat kedua, ia belum pasti menjamin tempat buat kita di pusingan akhir. Keputusan menentang pasukan tempat keempat tidak akan diambil kira,” kata Kim Swee pada sidang media selepas tewas 0-3 kepada Thailand pada Jumaat.

Menambah kebimbangan Kim Swee, persiapan Malaysia untuk turun menentang Mongolia turut terencat dek kerana faktor kecederaan beberapa pemain utama.

Ifwat Akmal Che Kassim dan Syafiq Ahmad sudah sedia tersisih dan tidak diturunkan ketika tewas kepada Thailand manakala empat lagi pemain – N.Thanabalan, Irfan Zakaria, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Adam Nor Azlin menyertai senarai panjang kecederaan.

“Saya akan menilai tahap kecederaan dan kecergasan mereka, memang tidak banyak masa untuk kita mengharap mereka kembali cergas sepenuhnya tetapi kita masih ada pilihan lain.

“Mongolia adalah pasukan yang sukar dijangka, mereka tunjukkan semangat melawan yang hebat ketika mengikat Thailand tetapi saya fikir mungkin mereka kepenatan ketika tewas besar 0-7 kepada Indonesia. Saya percaya mereka tetap merupakan ancaman kepada kita, kita tidak boleh hilang tumpuan.

“Pemain perlu memanfaatkan peluang yang mereka peroleh dan bermain mengikut arahan. Saya berharap mereka tidak mengambil mudah dan tunjukkan kualiti permainan yang bagus,” katanya.    

Kekalahan kepada Thailand meletakkan Malaysia ketika ini di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata, mengatasi Indonesia yang berada di tempat ketiga juga dengan tiga mata berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan. Thailand pula mendahului Kumpulan H dengan empat mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -