Persaingan memburu kejuaraan 100PLUS Liga Premier kini semakin sengit di antara empat pasukan teratas tatkala Kuala Lumpur kembali merampas kedudukan teratas setelah mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas PDRM pada Selasa.

Dengan berbaki empat perlawanan lagi untuk diharungi, Kuala Lumpur mendahului carta liga hanya menerusi beza jaringan ke atas pasukan tangga kedua Terengganu setelah masing-masing mengumpul 38 mata manakala Negeri Sembilan dan PKNP FC pula mengekori rapat dengan 37 mata.

Dalam aksi di Stadium Hang Jebat, skuad helang kota menjaringkan tiga gol di separuh masa kedua menerusi Ashri Chuchu (m-46), Paolo Josue (m-57) dan Guilherme De Paula (m-88) untuk bangkit dari kekalahan kepada Terengganu dan melakar kemenangan ke-12 musim ini.

Terengganu terlepas peluang menjarakkan diri setelah mencatat keputusan seri 2-2 menentang Negeri Sembilan. Skuad bimbingan Irfan Bakti itu dikerah bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk meraih satu mata di Stadium Mizan Zainal Abidin.

Skuad hoben jang hoben mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi dua jaringan pantas Jonathan Henry pada minit ke-39 dan 42. Sang penyu merapatkan kedudukan 1-2 pada minit ke-48 menerusi Tchetche Kipre dan gol penyamaan hanya hadir pada masa kecederaan perlawanan sekali lagi menerusi Tchetche.

PKNP FC turut mengukuhkan peluang untuk mencipta kejutan berada dalam kelompok dua terbaik dan layak ke Liga Super musim depan apabila mencatat kemenangan kesebelas musim ini dengan menewaskan Perlis 2-0 di Lumut.

Gol buat skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim dijaringkan Shahrel Fikri pada minit akhir separuh masa pertama dan Hafiz Ramdan menggandakan kedudukan pada minit ke-71.

Aksi lain menyaksikan Johor Darul Takzim II kekal di tangga kelima setelah mencatat keputusan seri 1-1 dengan Sabah di Likas. Pasukan dari Borneo itu mendahului 1-0 menerusi jaringan Rawilson Batuil pada minit ke-32 sebelum Che Rashid Che Halim mengikat kedudukan pada minit ke-44.

Uitm FC pula kekal di tangga keenam setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di gelanggang sendiri di Shah Alam menerusi jaringan Akanni Sunday Wasiu dan Sadam Hashim.

Satu lagi perlawanan menyaksikan MISC MIFA melakar kemenangan besar 6-3 ke atas Kuantan FA. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -