Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan jurulatih Pahang, Dollah Salleh dikenakan hukuman penggantungan selama 18 bulan susulan mengeluarkan kenyataan negatif berkenaan mutu pengadilan ketikan pasukannya tewas 1-2 kepada Felda United pada 1 Julai lalu.

Dollah Salleh dihukum berdasarkan artikel Artikel 61 Kod Tatatertib FAM dengan dibaca dengan Artikel 88.

Selain digantung, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu turut dikenakan denda RM 30 000 dan hukuman berkuat kuasa secara dua fasa, bermula 21 Julai 2017 hingga 20 April 2018.

Manakala hukuman bagi fasa kedua bermula dari 21 April 2018 hingga 20 Januari 2019, namun jumlah hukuman akan berkurangan andai Dollah Salleh berkelakuan baik.

 

Hukuman yang dikenakan ke atas Dollah Salleh jelas sekali dilihat sebagai wajar oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tiada ruang buat mana mana pihak untuk mengkritik FAM secara terang terang kerana mana mana individu tertakluk kepada undang undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

ā€œUndang-undang tetap undang-undang, mudah sahaja…semua orang perlu mematuhinya.

ā€œJadi tiada orang yang mampu melepasi perundangan. Pada awalnya saya ingatkan struktur FAM sahaja macam ini tetapi apabila saya banyak bertanya dan belajar, saya dapati perkara sama jugak seperti di England,ā€ kata Tunku Ismail selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke dua di Kuala Terengganu.

Katanya lagi, kritikan boleh dikeluarkan, tetapi menyatakan dakwaan secara terus atau langsung dilihat sebagai tidak sepatutnya dilakukan.

Kehadiran para penyokong bolasepak tempatan yang turut dijemput oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk sesi dialog bersama.

“Kita boleh komen mengenai prestasi pengadil tetapi ada beberapa perkara yang kita tidak boleh bercakap…dan apa yang Dollah Salleh katakan adalah ‘direct accusation’ (dakwaan secara langsung)…seolah-olah pihak atasan mengatur perlawanan,” katanya lagi.

Tunku Ismail juga mengakui wujud kelemahan dalam mutu pengadilan di Malaysia, bagi mengatasi masalah ini, FAM telah memanggil beberapa pengadil dari luar negara dalam berkongsi idea untuk memberikan input baru kepada pengadil tempatan.

Hukuman ke atas Dollah Salleh akan dipertimbang jika FAM menerima rayuan dalam tempoh 10 hari bermula semalam berdasarkan peruntukkan undang undang yang ditetapkan dalam FAM. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -