Acara bola jaring bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila ia mengambil masa tidak sampai tujuh jam untuk dijual atas talian semalam (4 Julai).

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM), Datuk Suraya Yaacob berkata, pihaknya tidak menjangka tiket acara tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan dan beliau berharap skuad bola jaring negara dapat memperagakan aksi terbaik pada temasya sukan kali ini.

“Semua tiket untuk menyaksikan perlawanan bola jaring sudah habis dijual dan saya berharap tiket yang sudah habis dijual ini sudah pasti memberi suntikan semangat kepada pemain untuk beraksi dengan baik di KL2017 nanti,” kata Datuk Suraya Yaacob.

Acara ini adalah antara 19 jenis acara sukan di KL2017 yang dikenakan bayaran masuk dan pihaknya memperuntukkan sebanyak 380 tiket untuk dijual bagi menyaksikan perlawanan bola jaring di Stadium Juara.

“Bagi memastikan peminat gembira menyaksikan perlawanan, acara bola jaring akan ditayangkan secara lagsung dari peringkat awal sehinggalah ke final dan pihak kita juga akan memasang skrin di luar stadium,” katanya lagi.

Mengulas pengumuman senarai muka lama skuad negara bola jaring, Datuk Suraya berkata: “Kita akan teruskan latihan dengan 15 atlet sedia ada kerana permainan bola jaring lasak dan kemungkinan kecederaan berlaku itu tetap ada. Jadi kita kekalkan tiga lagi nama lain dalam latihan pusat sehinggalah Sukan SEA nanti.”

Pasukan bola jaring yang mula menjalani latihan di Stadium Juara semalam (4 Julai) akan berlepas ke Melbourne, Australia esok seterusnya dijadualkan menyertai Kejohanan Jemputan Malaysia, bulan depan. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI

- Advertisement -