Atlet lontar peluru paralimpik negara, Ziyad Zolkefli memahat nama sekali lagi dalam sejarah olahraga dunia apabila melakar rekod dunia baru dalam laluan memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia, di London pada lewat malam Sabtu.

Lontaran pertama yang menakjubkan sejauh 17.29m membolehkan Ziyad memperbaharui rekod dunia sebelum ini 16.84m miliknya sendiri yang dilakukan ketika memenangi pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Rio De Janeiro 2016.

Lontaran pertama itu juga adalah satu-satunya lontaran Ziyad yang melepasi angka 17m dari enam lontaran yang dilakukan sekaligus menyaksikannya merampas semula pingat emas lontar peluru F20 (kurang upaya intelektual) yang pernah dimenanginya pada 2013 di Lyon.

Pingat perak dimenangi oleh Stalin Mosquera dari Ecuador (16.72m) manakala pemenang edisi lalu Todd Hodgets dari Australia meraih gangsa dengan catatan 15.95m.

Ketika di Doha 2015, Ziyad sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.

Dalam kenyataannya kepada Bernama, Ziyad berkata, “Saya datang ke London untuk membawa pulang sesuatu kepada negara saya. Saya selalu mengimpikan untuk melakukannya dan malam ini saya berjaya. Rekod dunia, juara paralimpik dan kini juara dunia. Ia sangat bagus dan saya cukup berbangga dengan pencapaian ini.”  

Dengan pencapaian ini juga, Ziyad yang akan beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kini dianggap sebagai pilihan untuk menyerlah memenangi pingat emas memandangkan catatan melebihi angka 17m sudahpun melepasi had kelayakan bagi setidak-tidaknya meraih pingat perak.

Apa yang penting kini, Ziyad perlu kekal fokus dan konsisten di dalam melakukan lontaran, selain tidak membiarkan emosi menganggu prestasinya yang dilihat semakin memuncak.

Untuk rekod, atlet lontar peluru terbaik negara berdasarkan prestasi semasa ketika ini adalah Adi Alifuddin Hussin namun atlet kelahiran Terengganu itu tidak pernah menang emas di pentas Sukan SEA. Dia memenangi pingat perak di tiga temasya berturut-turut (Laos 2009, Indonesia 2011 dan Myanmar 2013) manakala di Singapura 2015, Adi meraih pingat gangsa.- OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -