Ing Yueh

Prestasi kurang menyengat masih membayangi dua gimnas elit negara, Tan Ing Yueh dan Farah Ann Abdul Hadi tatkala tinggal 17 hari sahaja lagi sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur bermula.

Walaupun berjaya mengetepikan Farah Ann dalam ujian simulasi yang diadakan pada Rabu dengan beza mata yang agak jauh dalam acara batang titian dan senaman lantai, Ing Yueh mengakui dia belum berada pada prestasi terbaiknya.

Begitupun kedua-dua atlet berkenaan berpendapat itu bukan isu untuk dibimbangi tatkala masing-masing yakin menyerlah tepat pada waktunya apabila sukan gimnastik artistik membuka tirai secara rasmi di KL2017 pada 20 Ogos nanti.

“Memang ada kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan dalam sesi ujian, tetapi saya berpendapat adalah lebih penting menunjukkan prestasi terbaik hanya ketika di Sukan SEA nanti. Ini adalah simulasi, lebih kepada mahu menilai dan cuba memperbaiki mata.

Manakala Farah pula berkata, “Kepenatan antara sebab saya tidak dapat tumpukan perhatian tetapi saya yakin di Sukan SEA nanti saya dapat berikan yang terbaik. Saya anggap ini sebagai pengajaran untuk meningkatkan lagi fokus dan prestasi.”

Ing Yueh dan Farah Ann adalah antara sandaran untuk menyumbang emas buat kontijen negara di KL 2017. Dua tahun lalu di Singapura, mereka menyumbang emas menerusi acara berpasukan. Ing Yueh turut menyumbang emas individu menerusi acara palang tak sejajar dan pingat perak acara melombol.

Farah pula menyumbang emas individu acara senaman lantai, perak (individual all-around) dan gangsa melombol, batang titian dan palang tak sejajar.

Setelah kecewa dengan hanya tiga emas tersebut pada 2015, Gimnastik kali ini mensasarkan untuk meraih 10 daripada 25 yang ditawarkan berasaskan kepada persiapan dan pembentukan pasukan lebih awal, serta pendedahan di luar negara. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -