Chef de mission Filipina ke Sukan SEA ke 29, Cynthia Carrion Norton meletakkan keyakinan kontinjennya akan pulang dengan pungutan pingat emas yang lebih baik berbanding edisi sebelum ini.

 Berkata kepada media massa tempatan, selepas menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2005, prestasi Filipina jatuh merudum apabila kutipan pingat emas merosot dengan kadar yang mengecewakan.

 Ketika menjadi tuan rumah pada 2005, Filipina meraih 113 pingat emas, namun jatuh ke tangga keenam keseluruhan pada 2007 dengan hanya 41 pingat emas.

 Keadaan semakin parah buat Filipina apabila mengumpul 38 pingat emas pada 2009 diikuti Sukan SEA 2011 di Indonesia, dengan kutipan 36 emas dan terus merudum apabila meraih 29 emas dua tahun berikutnya pada 2013.

 Namun Filipina Berjaya mengekalkan catatan pingat emas pada 2013 di Sukan SEA ke 28 pada 2015 di Singapura.

 Tambah Cynthia, 495 atlet yang terlibat sepanjang sukan SEA ke 29, terdiri daripada atlet yang berpotensi untuk meraih emas.

 “Saya bertanya kepada mereka (Persatuan Sukan Kebangsaan), berapa banyak pingat emas yang mampu diraih? Selepas meneliti kesemua sukan, mereka menjanjikan 63 pingat emas.

 Namun beliau tahu sasaran yang ditetapkan oleh wakil wakil persatuan sukan bukan mudah untuk dicapai susulan prestasi negara negara lain seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan tuan rumah, Malaysia, yang semakin menunjukkan persaingan sengit dikalangan negara negara Asia Tenggara.

 Cynthia yang juga presiden persatuan gimnastik Filipina melihat sasaran minimum 50 pingat emas adalah sesuatu yang sepatutnya mampu dicapai.

 Sandaran emas Filipina di Sukan SEA adalah pada Wushu dan memanah, boling padang dan taekwondo.

- Advertisement -