Thailand mempertahankan pingat emas bolasepak buat kali ketiga berturut-turut setelah menewaskan Malaysia 1-0 dalam aksi final di Stadium Shah Alam pada Selasa (29 Ogos). 
Disaksikan lebih 80,000 penyokong, jaringan tunggal menerusi kesilapan penjaga gol Haziq Nadzli yang tertumbuk bola sepakan sudut Sasalak Haiprakhon ke dalam gawang sendiri pada minit ke-39 menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan. 
Ironinya, buat Malaysia ia mengulangi memori final Sukan SEA KL 2001 di mana mereka ketika itu tewas 0-1 kepada Thailand juga berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Kamarulzaman Hassan.  
Ia adalah kejuaraan ke-16 secara keseluruhan buat skuad bimbingan Worrawoot Srimaka tatkala Malaysia gagal menamatkan penantian 28 tahun untuk memenangi ibu segala emas itu di hadapan penyokong sendiri. 
Perlawanan bermula dengan diiringi hujan lebat dan hanya setelah 15 minit berlalu, barulah kedua-dua pasukan dilihat lebih selesa mengawal permainan dan rancak mengatur serangan memburu jaringan. 
 
Thailand hampir sahaja membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi tandukan cantik Picha Autra yang diselamatkan dengan cemerlang oleh Haziq. 
Seminit kemudian gawang negara cemas sekali lagi dengan Irfan Zakaria menjadi penyelamat setelah mengeluarkan percubaan berbahaya Worachit Kanitsribumphen. 
Kekebalan pertahanan skuad Dato’ Ong Kim Swee akhirnya runtuh pada minit ke-39 apabila Haziq tertumbuk sepakan sudut Sasalak ke dalam gawang sendiri sekaligus menceriakan lebih 5,000 penyokong Thailand. 
Separuh masa kedua aksi lebih agresif dari kedua-dua pasukan dengan deretan percubaan berbahaya dilakukan namun tiada tambahan jaringan terhasil. 
Thailand utuh bertahan malah Worrawoot turut mengeluarkan kedua-kedua penyerang dan memperkemas pertahanan dengan memasukkan Shinnapat Leeaoh dan Chaiyawat Buran.  
Kim Swee pula membawa masuk dua penyerang Shafiq Ahmad dan Akhyar Rashid namun tidak berhasil mendapatkan gol penyamaan. Kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan. 
Turut hadir menyaksikan perlawanan adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin.
Datuk Ong Kim Swee 
“Kalau tanya saya tentang keputusan malam ini, memang saya kecewa kerana tak menang emas. Tetapi pemain telah memberikan segala yang terbaik dan memberi tentangan sengit kepada Thailand, malangnya kita gagal cari gol penyamaan. Memang untuk tewas dengan jaringan seperti itu sangat perit tetapi kita tidak boleh salahkan Haziq. Dia sendiri tidak mahu buat kesilapan seperti itu dan ia boleh berlaku kepada sesiapa. Saya percaya kekalahan ini satu pengalaman yang berguna dan akan menjadikan pemain ini lebih bagus untuk cabaran akan datang.”
– OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -