Pengendali skuad B-22 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee mengingatkan kesemua pemain yang disenaraikannya untuk beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 agar tidak mengulangi kesilapan dilakukan pemain Johor Darul Takzim, Nazmi Faiz Mansor dua tahun lalu.

Ketika temasya Singapura 2015, Nazmi yang merupakan salah seorang pemain tonggak hanya sempat merasai kehangatan Sukan SEA selama 31 minit. Pemain itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal setelah dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama menentang Timor Leste gara-gara meludah pemain lawan.

Malaysia menang perlawanan itu namun ketiadaan Nazmi untuk baki perlawanan peringkat kumpulan menyaksikan Kim Swee kekurangan pemain bagi mengemudi barisan tengah dan bertindak sebagai perancang sekaligus tewas 1-5 kepada Vietnam dan kemudiannya 0-1 kepada Thailand.

Meskipun bangkit untuk menewaskan Laos dan Brunei, cabaran Malaysia tersekat di peringkat kumpulan setelah sekadar menduduki tempat ketiga Kumpulan B. 

“Saya percaya disiplin pemain-pemain semakin bertambah baik apatah lagi ketika bermain di kelayakan AFC (B-23) di Bangkok bulan lalu kita hanya menerima dua layangan kad kuning. Jadi saya harap rekod disiplin baik ini dapat diteruskan tetapi kita tidak tahu apa akan terjadi ketika perlawanan, situasi boleh berlaku dalam sekelip mata. 

“Saya berharap pemain jangan ulangi kesilapan sama kerana ia akan menyebabkan kita kekurangan pilihan pemain untuk posisi tertentu sekaligus menjejaskan kekuatan pasukan,” kata Kim Swee ketika sidang media mengumumkan senarai 20 pemain KL2017 pada Sabtu. 

Temasya KL2017 adalah kali keempat pengendali berusia 45 tahun itu membimbing pasukan negara di Sukan SEA. Dia berjaya memenangi emas dalam cubaan pertama pada 2011 namun kandas di separuh akhir di edisi Myanmar 2013 sebelum rekod itu bertambah buruk di Singapura.

Membawa harapan seluruh peminat bolasepak tempatan yang mahu melihat ibu segala emas itu kembali menjadi milik Malaysia, Kim Swee berkata, “Memang itu juga harapan saya, ia akan menjadi sesuatu yang istimewa untuk melakukannya di hadapan penyokong kita sendiri.

“Tetapi kita harus sedar tiada perkara yang boleh diambil mudah. Kita perlu tempuhinya satu persatu dan sokongan dari semua peminat, sorakkan semangat mereka akan menjadi azimat yang cukup berguna untuk kita realisasikannya.”

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan A dengan menentang Brunei pada 14 Ogos, diikuti Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -