Kerajaan Selangor yakin kerja menggantikan bumbung Stadium Shah Alam yang rosak dapat disiapkan sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (K2017) bermula. 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, YB Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah wang bagi penggantian atap bumbung yang tercabut sebelum ini dan beliau yakin ia dapat siap sebelum KL2017 berlangsung.
“Mengikut pengalaman, saya yakin pihak kita boleh siapkan sebelum acara sukan bermula dan kini kita sedang menunggu makluman daripada pihak penganjur jika mereka ada sebarang penambahan.
“Dan saya juga yakin sekurang-kurangnya 80 peratus daripada bahagian bumbung yang rosak di Stadium Shah Alam ini dijangka akan siap pada sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan (YB Brig Jen Khairy Jamaluddin Abu Bakar) pada 11 Ogos nanti,” katanya ketika ditemui selepas Larian Obor Sukan SEA KL2017 peringkat negeri Selangor, semalam (31 Julai).
Dalam perkembangan sama, larian obor itu disertai lebih 100 kakitangan awam termasuk dari Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan wakil daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
“Hari ini, kita serahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Amin Ahya sebelum diserahkan kepada Pegawai Daerah Kuala Langat, Rosli Othman untuk dibawa ke sana,” katanya lagi. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI
- Advertisement -