Pengendali skuad bolasepak B-22 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee hari ini (Khamis) mengumumkan senarai 27 pemain bagi menjalani latihan fasa akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula 6 Ogos ini di Wisma FAM.

Senarai tersebut menyaksikan Kim Swee menggugurkan empat pemain yang beraksi di pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 tahun di Bangkok bulan lalu iaitu Ahmad Solehin Mamat, L.Kalaiharasan, Fauzan Fauzi dan Nur Syamie Iszuan.

Manakala lima pemain yang pernah bersama pasukan menjalani latihan di China pada Jun lalu – Syamer Kutty Abba dan S.Kumaahran dari Pulau Pinang, Safawi Rasid dan Haziq Nadzli dari Johor Darul Takzim serta Tommy Mawat Bada (Sarawak) kembali dipanggil Kim Swee.

Turut tersenarai adalah pemain Felda United, Ahmad Azriddin Rosli yang kembali dari kecederaan selain tiga pemain yang pertama kalinya akan menyertai kem latihan di bawah kendalian Kim Swee iaitu Mathew Davies dan Norazam Azih dari Pahang serta seorang lagi pemain JDT, Dominic Tan.

Khidmat pemain tengah Perak, Ahmad Khairil Anuar Zamri (Beto) bagaimanapun sah terpaksa diketepikan setelah pemain itu tidak sempat cergas sepenuhnya bagi mengalas cabaran di KL2017.

“Bagi saya, senarai 27 pemain ini merupakan barisan pemain yang lebih baik berbanding skuad 22 pemain kita yang dibawa ke Bangkok bagi kelayakan Kejuaraan AFC B-23 tempoh hari.

“Apabila kem latihan bermula Ahad ini, saya mempunyai lebih kurang seminggu sesi latihan sebelum memuktamadkan senarai akhir 20 pemain untuk didaftarkan pada 12 Ogos. Saya akan gunakan tempoh seminggu itu bagi menilai 27 pemain ini bagi memastikan setiap posisi mempunyai pemain utama dan pengganti kerana kita tahu jadual Sukan SEA adalah begitu padat.

“Jadi saya perlu memikirkan dari segi kecergasan pemain di mana 20 pemain yang dipilih nanti perlu bersedia untuk diturunkan pada setiap perlawanan jika kita layak sehingga ke final,” kata Kim Swee.

Kim Swee turut mengingatkan agar kesemua pemain terutama pemain yang kembali disenaraikan di dalam pasukan tidak berasa selesa dan bekerja keras untuk merebut tempat di dalam pasukan, selain sedia untuk berkerjasama dengan pemain-pemain lain. 

Malaysia yang kali terakhir memenangi emas pada edisi 2011 di Indonesia akan membuka tirai saingan Sukan SEA edisi ke-29 dengan menentang Brunei pada 14 Ogos, diikuti Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -