Pengendali skuad B-22 Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee mengingatkan barisan pemainnya agar tidak terlalu beegembira dan terbuai dengan kejayaan layak ke pentas final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan menewaskan Indonesia di peringkat separuh akhir. 

Mengakui lega dengan kemenangan hasil jaringan lewat N.Thanabalan itu, Kim Swee mahu pemainnya segera mengalihkan fokus kepada pertemuan final menentang Thailand pada Selasa ini tatkala Malaysia membawa misi mahu merampas semula ibu segala pingat emas.

“Sudah tentu saya gembira tetapi perjuangan masih belum berakhir. Misi sebenar kita adalah memenangi emas. Pemain telah meletakkan komitmen dan kerja keras, mereka bertambah baik dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain, jadi apa yang saya mahukan adalah kesungguhan dan determinasi sama ditunjukkan pada perlawanan akhir,” kata Kim Swee. 

Ini adalah kali keempat Kim Swee membimbing pasukan muda negara di Sukan SEA. 

Pada edisi 2011 di Palembang, Kim Swee berjaya membawa pasukan meraih emas dengan menewaskan Indonesia tetapi pada 2013 cabaran berakhir di separuh akhir, manakala pada 2015 gagal melepasi halangan peringkat kumpulan. 

Sementara itu, pengendali Indonesia, Luis Milla pula mengakui kecewa dengan kekalahan tetapi berpendapat kesemua pemainnya telah memberikan prestasi yang terbaik. 

“Bagi saya ia adalah perlawanan yang seimbang, Kami menunjukkan kualiti permainan yang baik dan kedua-dua pasukan mempunyai peluang masing-masing. Sebelum gol Malaysia itu terhasil, kami ada peluang menerusi Ezra (Harm) dan Febri. Dalam bolasepak siapa yang manfaatkan peluang dialah pemenang. Saya sedih untuk mengecewakan peminat-peminat Indonesia, tetapi sasaran kami kini adalah pulang ke Indonesia dengan pingat. 

Indonesia akan berdepan Myanmar dalam aksi penentuan pingat gangsa, juga pada Selasa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -