Some 200 volunteers attended a special media briefing and simulation at the Main Press Centre at the Malaysia International Trade and Exhibition Centre in Jalan Duta on Saturday (5 Aug 2017).
Bertempat di Pusat Media Utama di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), seramai kira-kira 200 sukarelawan menghadiri taklimat dan simulasi pada Sabtu (5 Ogos 2017) bagi membantu kelancaran operasi media sepanjang Sukan SEA nanti.

SUKARELAWAN Kuala Lumpur 2017, yang dikenali sebagai WAU Factor, bertanggungjawab menjaga nama baik negara dan perlu melaksanakan tugasan mereka dengan sebaik mungkin bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9.

Bertempat di Pusat Media Utama di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), seramai kira-kira 200 sukarelawan menghadiri taklimat dan simulasi pada Sabtu (5 Ogos 2017) bagi membantu kelancaran operasi media sepanjang Sukan SEA nanti.

Secara keseluruhannya, seramai 320 sukarelawan telah dipilih untuk membantu pengendalian di Pusat Media Utama, Pusat Penyiaran Antarabangsa dan pusat-pusat media di pelbagai venue Sukan SEA nanti.

Antara tugasan mereka termasuk mengurus pengendalian dan operasi pusat-pusat media di pelbagai venue, memastikan keperluan wakil media dan mewujudkan kondisi terbaik buat wakil media yang bertugas melakukan liputan sepanjang temasya berlangsung.

“Anda merupakan barisan depan yang akan memastikan imej negara sentiasa di tahap tertinggi. Membantu mengendalikan urusan dan kehendak media tempatan dan media asing sepanjang temasya amat penting bagi memastikan imej negara tidak tercalar,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan KL2017, Encik Sabran Abdul Bahar semasa memberikan taklimat.

“Para sukarelawan perlu tahu segala maklumat tentang KL2017, tidak menggunakan insentif yang diberi untuk kepentingan diri semata-mata”, kata beliau yang mengingatkan anggota WAU Factor bertugas dengan penuh dedikasi, disiplin, berintegiriti dan ikhlas untuk memastikan kejayaan KL2017.

Ketua Cawangan Media dan Komunikasi MASOC, En Fahmi Omar dan Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Puan Jainisah Mohd Noor turut memberi taklimat operasi dan keperluan-keperluan tugasan.

Barisan 320 sukarelawan media itu merupakan anatara 13,000 anggota WAU Factor yang terpilih sejak tahun lepas untuk menjalankan pelbagai tugas sepanjang temasya.

Selain menempatkan Pusat Media Utama dan Pusat Penyiaran Antarabangsa, MITEC juga menjadi gelanggang bagi lapan acara Sukan SEA iaitu muay, lawan pedang, bola tampar, angkat berat, hoki dalam dewan, gimnastik artistik dan gimrama, ping pong dan tinju.

Setakat ini, lebih 2,000 wakil dari media cetak, elektronik dan digital telah mendaftar untuk melakukan liputan sepanjang temasya dari 19 hingga 30 Ogos itu.

- Advertisement -