250 Pelajar SK TTDI(2) Sertai Larian Obor KL2017 Fasa Akhir

Seramai 250 pelari cilik dari SK TTDI (2) bersama-sama menyertai Larian Obor KL2017 yang diketuai oleh YB Brig Jen Khairy Jamaluddin yang membawa obor menyusuri laluan sekitar Taman Tun Dr Ismail.

Acara larian fasa akhir ini turut dimeriahkan lagi dengan iringan motor berkuasa tinggi serta rombongan kereta antik. Beberpa orang bekas atlet negara, guru-guru dari SK TTDI (2) dan orang ramai turut sama-sama berlari sejauh 2.5km melalui SMK TTDI sehingga ke SK TTDI (1) sebelum acara diteruskan sehingga ke Tesco Kepong.

Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (2) merupakan antara 33 buah sekolah yang terpilih untuk mempromosikan Sukan SEA 2017 dibawah program KL2017@Sekolah.

Pihak sekolah berbangga menjadi salah satu sekolah pilihan Kementerian Belia dan Sukan untuk memulakan acara larian obor KL2017 pagi ini sebelum larian tersebut diteruskan sehingga ke Tesco Kepong.

Menurut Guru Besar SK TTDI (2) Puan Sri Hajah Zaiton binti Baharuddin berkata, rata-rata kesemua murid menghadirkan diri ke sekolah pagi tadi kerana teruja untuk menyambut kehadiran Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin untuk menyaksikan upacara ‘Flag Off’ serta penyerahan obor.

” Pengalaman anak murid saya berlari untuk Larian Obor KL2017 adalah amat penting untuk memperkenalkan sukan pada generasi muda seawal bangku sekolah lagi “, ujar beliau.

” Saya bukan sahaja memberi galakkan kepada murid untuk menyertai larian obor ini malah turut kepada guru-guru sekolah di mana ada di antara mereka akan terlibat sebagai petugas di Sukan SEA nanti “, tambahnya lagi.

Larian Obor KL2017 pada hari ini merupakan penamat untuk sepanjang laluan sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya kecuali pada peringkat akhir di upacara pembukaan Sukan SEA 2017 nanti. – OLEH WANIE JEMAIN

- Advertisement -