Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 ditutup rasmi dalam suasana warna warni dan penuh bertenaga sekaligus menjadi hadiah terbaik meraikan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan temasya di  Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Rabu (30 Ogos).

Kawah api temasya, yang dinyalakan oleh penerjun Nur Dhabitah Sabri pada 19 Ogos lepas, dipadamkan sepenuhnya tepat jam 10.17 malam, menandakan berakhirnya edisi ke-29 temasya yang menyaksikan Malaysia merealisasikan impian kejuaraan dengan kutipan 145 pingat emas.

Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan Sukan SEA 2017 ditutup dengan rasminya tepat jam 10.13 malam.

Sejak dua minggu lepas, seramai 4,709 atlet dan pegawai 2,381 telah berada di Kuala Lumpur untuk bersaing dalam 38 sukan dan 404 acara. Malaysia disertai 844 atlet dan 390 pegawai pada KL2017.

Kejayaan meraih 145 pingat emas merupakan kejayaan terbesar negara dalam Sukan SEA. Thailand di tempat kedua dengan 72 emas, diikuti gold Vietnam 58, Singapura 57, Indonesia 38, Filipina 24, Myanmar 7,  Cambodia 3, Laos 2 manakala Brunei menamatkan kempen dengan lima perak dan lapan gangsa. Timor Leste meraih tiga gangsa.

Edisi ke-30 Sukan SEA pada 2019 akan berlangsung di Filipina.

Pada upacara berkenaan, Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) , mendapat perakuan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kerana kejayaan menganjurkan Sukan SEA 2017.

Anggota Lembaga Eksekutif IOC Ng Ser Miang dari Singapore, menyampaikan piala penghargaan kepada Pengerusi MASOC YB Brig Jen Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Terdahulu, dalam ucapannya,  Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGHF) YAM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, memuji usaha dan kejayaan atlet sepanjang bersaing di Kuala Lumpur.

“Anda, para atlet, semuanya adalah pemenang, samada anda menang pingat atau tidak. Anda telah memberikan yang terbaik buat negara anda. Pulang lah dengan raga megah dan bangga di atas usaha anda.” kata beliau.

Tunku Imran memuji MASOC di atas kejayaan menganjurkan  Sukan SEA 2017. “Terima kasih daripada kami dalam keluarga Sukan SEA…anda secara kolektif berjaya menganjurkan temasya yang kekal dalam ingatan.”

Upacara tradisi, penyerahan bendera kepada tuanrumah temasya 2019 berlangsung ringkas dengan Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) Jose Cojuangco menerima bendera SEAGF daripada Tunku Imran. Cojuangco kemudian menyerahkan bendera berkenaan kepada Setiausaha Luar Filipina Alan Peter Cayetano, yang akan mengetuai jawtankuasa penganjur bagi Filipina 2019.

Sejurus selepas selesai upacara penutupan rasmi, penonton diraikan dengan persembahan himpunan artis-artis ternama negara dengan pelbagai lagu bertema semangat kenegaraan sempena  menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-60 negara pada Khamis (31 Ogos).

Selamat Tinggal Kuala Lumpur, Hello Filipina!

- Advertisement -